MPT raih Anugerah Destinasi Rekreasi Terbaik promosikan kawasan pelancongan Taiping | DagangNews Skip to main content

MPT raih Anugerah Destinasi Rekreasi Terbaik promosikan kawasan pelancongan Taiping

Taman Tasik Taiping antara lokasi riadah dan pelancongan popular
Oleh ZAKI SALLEH 

TAIPING 19 Dis - Kesungguhan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memacu industri pelancongan bandar warisan ini diiktiraf apabila dinobatkan pemenang Anugerah Destinasi Rekreasi Terbaik.

 

Kemenangan ini diraih pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 yang berlangsung di Royal Chulan Hotel Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

 

Ia atas usaha berterusan MPT dalam menyedia dan mempromosi lokasi rekreasi untuk aktiviti riadah seperti Taman Tasik Taiping, Taman Botani Perak, Zoo Taiping dan Safari Malam dan Pusat Peranginan Bukit Larut.

 

Majlis penganugerahan yang julung-julung kali dianjurkan ini adalah kerjasama antara Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Santai Travel.

 

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, kejayaan tersebut merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada semua warga kerja yang terlibat.

 

"Kita merasa bangga apabila MPT, khususnya bandar warisan Taiping mendapat pengiktirafan yang mana usaha untuk memacu pelancongan dilihat pihak luar.

 

"Ini kerana anugerah julung-julung kali diadakan itu turut memberi penghormatan tertinggi kepada individu dan organisasi yang memainkan peranan penting dalam kejayaan industri pelancongan," ujarnya dalam satu kenyataan.

 

 

mpt
Khairul Amir Mohamad Zubir (tiga, kanan) semasa menerima Anugerah Destinasi Rekreasi Terbaik di Majlis Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 pada 16 Disember 2022

 

 

Khairul Amir berkata, pengiktirafan itu turut disokong dengan kehadiran seramai 866,879 pelawat ke Zoo Taiping dan Safari Malam.

 

Ia meliputi 761,420 pelawat pada sesi siang iaitu  dan 105,459 pelawat sesi petang (Safari Malam) sepanjang tahun ini sehingga 16 Disember.

 

 

mpt
Khairul Amir Mohamad Zubir (empat, kanan) bersama warga MPT dengan hadiah kemenangan yang mengiktiraf pelancongan Taiping

 

 

Sebelum ini, bandar warisan Taiping telah mengharumkan nama negara selepas dinobatkan sebagai ‘Bandar Ketiga Terbaik Di Dunia’ menerusi Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2019 di Berlin, Jerman.

 

Taiping juga dinobatkan sebagai Destinasi Pelancongan Warisan pada Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2017 dan ‘Best Destination Manager 2016’ oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Bandar Raya Asia Pasifik. - DagangNews.com