TA Securities optimis terhadap prospek Able Global selepas menceburi segmen hartanah | DagangNews Skip to main content

TA Securities optimis terhadap prospek Able Global selepas menceburi segmen hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - TA Securities optimis terhadap prospek Able Global Bhd selepas kumpulan itu menceburi segmen hartanah dan ia dijangka menyokong aliran hasil utama dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

Katanya, kumpulan itu berjaya memperoleh 120.3 hektar tanah dengan 36.13 hektar diperuntukkan bagi pengembangan segmen pembuatan dan pembangunan hartanah.

 

"Kelulusan tanah kini di peringkat akhir sebelum pembinaan dimulakan.

 

"Pembangunan hartanah itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion, yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen makanan dan minuman (F&B) memberi sumbangan ketara kepada prestasi kumpulan, menyumbang 82% daripada hasil suku pertama 2024 dan 80% daripada keuntungan bersih.

 

Katanya, kumpulan itu sedang giat mengembangkan kehadirannya di pasaran luar negara dengan memanfaatkan kedudukannya di Mexico.

 

Memandangkan permintaan yang kukuh, kadar operasi di Mexico diramal mencecah 40% pada FY24 (naik daripada 18% pada 1QFY24)

 

"Sementara itu, kumpulan itu merancang untuk meneroka pasaran Asia Barat.

 

"Kami percaya Able Global mempunyai kelebihan daya saing kerana pensijilan halal yang mengurangkan potensi halangan berbanding pesaingnya," katanya.

 

Bagaimanapun, TA Securities menjangkakan kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk harga komoditi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan pengukuhan kadar pertukaran ringgit dan dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.57 sesaham. - DagangNews.com