Mr D.I.Y boleh 'menyelit' dalam kelompok utama KLCI - Firma | DagangNews Skip to main content

Mr D.I.Y boleh 'menyelit' dalam kelompok utama KLCI - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 6 Mei - Mr D.I.Y Group dilihat boleh mengekalkan kedudukannya dalam kalangan 30 komponen utama FBM KLCI apabila berjaya mendaki ke tangga 20, pada 30 April lalu. 

 

CGS-CIMB menerusi laporan bulanan April berkata, ini secara tidak langsung melayakkannya berada dalam kelompok indeks utama itu berdasarkan kedudukan pasaran modal. 

 

Setakat 30 April, Mr D.I.Y mempunyai pasaran modal berjumlah RM25.04 bilion.

 

"Kami juga mendapati tidak ada konstituen KLCI yang jatuh ke kedudukan ke-36 atau ke bawah, yang bermaksud bahawa tidak ada satupun daripada mereka yang layak untuk dikeluarkan dari KLCI.

 

"Jika Mr D.I.Y kekal dalam kedudukan ini sehingga 24 Mei, ia boleh dimasukkan dalam indeks utama ini buat kali pertama bagi semakan berikutnya," katanya.

 

Kedudukan itu bagi menggantikan Sime Darby Berhad yang dilihat mempunyai pasaran modal yang rendah dalam kalangan 30 komponen KLCI itu. 

 

Semakan seterusnya akan dijalankan pada Jun ini menggunakan data daripada penutupan perniagaan pada 24 Mei, berdasarkan peraturan dasar. 

 

Hasil semakan ini akan diumumkan pada 3 Jun dan berkuat kuasa pada 21 Jun. 

 

Berdasarkan indeks utama itu setakat 30 April, Maybank mendahului senarai dengan pasaran modal berjumlah RM93.94 bilion diikuti Public Bank (RM80.55 bilion) dan Petronas Chemical (RM65.6 bilion). 

 

Sementara itu, dalam laporan bulanan itu, CGS-CIMB mendapati sektor yang mencatat prestasi terbaik adalah penjagaan kesihatan, pengangkutan dan pengeluaran perindustrian manakala prestasi terburuk dicatatkan menerusi sektor tenaga, kewangan dan perladangan.

 

Pada April, KLCI menokok 1.8% atau 28 mata dan ia melonjak setinggai 1,623 mata dicatatkan pada 26 April.

 

Bagaimanapun, pasaran hilang momentum minggu lalu ekoran jualan asing dan peningkatan ketara jangkitan COVID-19 di negara ini. 

 

"Kami memerhati yang para pelabur mula kembali kepada sektor penjagaan kesihatan dan mengambil keuntungan antara saham perbankan dan tenaga," tambahnya.

 

Sepanjang bulan lalu, sentimen pasaran mengukuh disokong oleh projek MRT3 di Lembah Klang dan laporan mengenai rundingan antara Axiata Group dan Telenor Asia bagi langkah penggabungan antara Celcom dan Digi.

 

Menurut firma itu, jumlah purata dagangan harian juga susut kepada 7.2 bilion berbanding 9.2 bilion pada Mac manakala nilai purata dagangan harian jatuh kepada RM4.2 bilion berbanding RM5.1 bilion pada Mac.

 

Bagi pergerakan pasaran pada Mei pula, firma itu menjangkakan prestasi yang bercampur-campur pada bulan tersebut.

 

"Selain itu, kelemahan dolar AS juga boleh merangsangkan pelabur asing kembali ke pasaran ekuiti negara ekonomi membangun termasuk Malaysia," katanya.

 

Firma tersebut mengekalkan unjuran KLCI akhir tahun ini pada 1,699 mata dengan saham Inari, Public Bank dan Telekom menjadi pilihan utama. - DagangNews.com