MRT Corp lantik semula bekas CEO, Azhar sebagai Pengerusi | DagangNews Skip to main content

MRT Corp lantik semula bekas CEO, Azhar sebagai Pengerusi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat berkuatkuasa 11 Mei 2021.

 

Pelantikan ini menandakan kembalinya beliau ke syarikat yang pernah diterajuinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pertama bermula 2011 hingga 2014, jelas MRT Corp dalam satu kenyataan. 

 

Menyambut baik pelantikan beliau, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, Azhar akan membawa pengalaman industri yang luas di mana beliau bakal memacu MRT Corp pada masa hadapan. 

 

“Sebagai CEO MRT Corp yang pertama, pengalaman dan pengetahuan Azhar adalah sangat bernilai dalam pembangunan Projek Rapid Transit System di antara Johor Bahru-Singapura serta Projek MRT3 Laluan Lingkaran, dan pada waktu yang sama, dalam menyiapkan MRT Laluan Putrajaya,” kata Zarif. 

 

Sebelum pelantikan berkenaan, Azhar merupakan Pengerusi FGV Holdings Sdn. Bhd. dari tahun 2017 hingga April 2021. 

 

Setelah meninggalkan MRT Corp pada 2014 sehingga 2017, syarikat berkata, beliau telah memegang pelbagai jawatan seperti Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn. Bhd., Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation, Presiden merangkap Pengarah Urusan Kumpulan dan seterusnya Pengerusi Tradewinds Corporation Berhad. 

 

Tambah MRT Corp, Azhar berkhidmat di Sime Darby Group sejak 1994 hingga 2001, seterusnya bermula 2003 hingga 2010, di mana beliau telah memegang pelbagai jawatan dalam kumpulan tersebut termasuk sebagai Timbalan Presiden Eksekutif/Ketua Bahagian Peladangan dan Perniagaan-Agro, Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Sdn Bhd serta Pengarah Kumpulan Bahagian Peladangan dan Makanan. 

 

Turut memegang jawatan Pengarah Urusan Sime Plantations Sdn. Bhd, Pengarah Urusan Bahagian Peralatan Berat Asia Pasifik, Pengarah Urusan Tractors Malaysia Holdings, Pengarah Pembangunan Perniagaan Sime Darby Plantations Sdn. Bhd., Pengurus Besar Bahagian Kejuruteraan, Minyak dan Gas, Pengarah Pembangunan Perniagaan Sime Conoco Sdn Bhd dan Pegawai Kewangan Sime Tyres International Sdn. Bhd. 

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan Pernas International Holdings Berhad dari tahun 2001 hingga 2002. 

 

Selain daripada jawatan-jawatan di atas, beliau turut memegang jawatan Pengerusi Malaysian Palm Oil Association bermula 2001 hingga 2010. 

 

Azhar adalah ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun di United Kingdom, dan ahli Institut Akauntan Malaysia. - DagangNews.com