MRT3 jadi pemangkin kepada harga saham HSS Engineers - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

MRT3 jadi pemangkin kepada harga saham HSS Engineers - CGS CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - CGS-CIMB menjangkakan HSS Engineers Bhd. akan merekodkan perolehan yang lebih baik pada suku keempat ini apabila sektor pembinaan kembali pulih sejajar dengan pembukan semula ekonomi.

 

Malah, penganalisisnya, Sharizan Rosely berkata, projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dihidupkan semula akan menjadi pemangkin utama kepada pergerakan harga sahamnya. 

 

Katanya, projek yang dianggarkan bernilai antara RM20 hingga RM30 bilion itu dijangka mengeluarkan tawaran tender pada separuh kedua 2022.

 

"Pada harga saham sesama, HSS Engineers menawarkan pelabur dengan peluang pembelian yang menarik ke arah pemulihan dalam aliran kontrak pembinaan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, kerajaan masih dalam peringkat akhir perincian mengenai pelan pembiayaan MRT3.

 

Ia menjangkakan tawaran tender bagi projek ini akan dibuka untuk bidaan bermula suku kedua 2022.

 

Mohd. Zarif berkata, MRT3 perlu digerakkan secepat mungkin kerana ia merupakan projek infrastruktur strategik bagi melonjakkan ekonomi negara dan membolehkan industri berkaitan seperti pembinaan dan hartanah mendapat manfaat segera.

 

Setakat 12.13 tengah hari, harga saham HSS Engineers susut 0.05 sen atau 0.93% kepada 53 sen dengan 750,000 saham diniagakan.

 

CGS-CIMB turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas HSS Engineers dengan harga sasaran pada 80 sen. 

 

Menurut Shahrizan, laporan kewangan bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 adalah di bawah jangkaan pada 30 hingga 34% daripada anggaran tahun penuh firma dan konsensus, terutama disebabkan kadar cukai yang lebih tinggi sebanyak 41.3% berbanding ramalan tahun penuh sebanyak 27%.

 

"Kami juga mendapati hasil bagi tempoh itu secara amnya adalah sejajar dengan unjuran kami walaupun mencapai 69% daripada anggaran tahun penuh kami kerana menjangkakan pembayaran pulih dengan kukuh bagi suku suku pada suku keempat apabila aktiviti pembinaan meningkat," katanya. 

 

Bagaimanapun, beliau mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY21-FY23 berikutan pelaksanaan Cukai Makmur dijangka tidak menjejaskan kumpulan kerana keuntungan sebelum cukai berada di bawah paras ambang RM100 juta. 

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, syarikat perunding kejuruteraan dan pengurusan projek ini mencatat keuntungan bersih yang kecil sebanyak RM200,000 manakala pendapatan meningkat kepada RM42.9 juta berbanding RM42 juta sebelum itu. - DagangNews.com