MSD 2021 catat lebih 1.5 juta tontonan, 5 juta penglibatan di saluran media sosial | DagangNews Skip to main content

MSD 2021 catat lebih 1.5 juta tontonan, 5 juta penglibatan di saluran media sosial

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn pada majlis penutup Minggu Saham Digital 2021.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencatatkan lebih 1.5 juta tontonan selama tujuh hari dan lebih 5 juta penglibatan di semua saluran media sosial rasmi sepanjang berlangsungnya Minggu Saham Digital (MSD) 2021.

 

Program hibur didik selama seminggu yang bertemakan #laburbersama itu bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur, melalui pelbagai aktiviti dalam talian.

 

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat, terutamanya peserta yang menjadikan MSD 2021 sebagai acara yang paling menyeronokkan.

 

"Semua program kami sepanjang minggu masih boleh terus ditonton di saluran Facebook dan YouTube MSD. Kami berharap para peserta berjaya menimba ilmu baharu daripada pengalaman mereka bersama kami, dan terus menyokong usaha celik kewangan kami," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, laman web rasmi MSD 2021 turut menerima kunjungan sebanyak 1 juta kali dan peraduan Jom...Kira Duit menerima sebanyak 307,000 penyertaan daripada lebih 9,000 peserta.

 

Sebagai tanda penghargaan, PNB memberi peluang kepada orang ramai yang mengikuti program MSD 2021 untuk memenangi hadiah bernilai lebih daripada RM500,000 menerusi pelbagai peraduan yang diadakan.

 

Bagi peraduan Peraduan Jom… Kira Duit, hadiah utama berupa Hyundai Kona 2.0 Standard menjadi milik Muhamad Ramli Ab. Rahman dari Kuala Lumpur manakala hadiah kedua berupa Toyota Yaris 1.5G (AT) menjadi milik Filzah Haziyah Ahmad Shah dari Kota Kinabalu.

 

Tempat ketiga menjadi milik Mohd. Shahril Amin Shahda dari Teluk Intan yang membawa pulang sebuah Perodua Ativa 1.0 Turbo mana Abdul Hamid Hasan membawa pulang sebuah motosikal Honda CB250R selepas meraih tempat keempat dalam pertandingan itu.

 

Seramai lapan pemenang membawa pulang motosikal 125 Honda Dash dengan lima adalah pemenang Ringgit Emas.

 

Peraduan Live Trivia merekodkan sejumlah 4,592 penyertaan manakala peraduan Cabutan Bertuah mencatatkan 2,400 penyertaan.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain penghargaan kepada rakan korporat yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan MSD 2021 terus menjadi salah satu acara literasi kewangan terbesar di Malaysia.-Dagangnews.com