MSM agih zakat RM1 juta | DagangNews Skip to main content

MSM agih zakat RM1 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Syarikat pengeluar Gula Prai, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) telah menyumbangkan zakat sebanyak RM 1 juta yang diagihkan melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Agihan tersebut bertujuan menyokong usaha PPZ dalam membasmi kemiskinan serta menjamin kestabilan sosial khususnya dalam menyampaikan bantuan kepada komuniti yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan lain-lain, jelas MSM. 

 

“MSM turut mengagihkan RM 1 juta zakat pada tahun 2020 di mana kami amat berbesar hati dapat meneruskan lagi tanggungjawab murni tersebut pada tahun ini di sebalik kekangan dalam landskap ekonomi dan perniagaan susulan pandemik yang dihadapi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad dalam satu kenyataan hari ini.

 

Syed Feizal Syed Mohammad
Syed Feizal Syed Mohammad

 

Sebagai sebahagian daripada program CSR pada tahun ini, MSM turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan, dalam menyalurkan sumbangan yang memanfaatkan lebih 5,000 orang di beberapa buah negeri termasuk Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu. 

 

Ujar kumpulan itu, secara keseluruhan, MSM telah menyampaikan sumbangan dalam bentuk produk-produk gula dengan anggaran lebih 8,000 kilogram (kg). 

 

“Pada tahun lepas, MSM turut menyumbangkan lebih 50,000 kg produk-produk gula yang bernilai lebih RM 100,000 sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab korporat syarikat yang merangkumi penglibatan dalam bantuan kemanusian bagi memberikan bantuan berikutan impak pandemik Covid-19. 

 

“Selama lebih 57 tahun, “Gula Prai” sebagai jenama kebanggaan negara, dengan slogan, “Sweetening Lives Since 1964” secara berterusan menyokong ekosistem sosio-ekonomi tempatan melalui peluang pekerjaan, tanggungjawab korporat dan pembangunan ekonomi,” kata MSM.

 

Sebagai rekod, MSM juga mengendalikan syarikat logistik menerusi MSM Logistics Sdn Bhd. - DagangNews.com