MSM Johor mula operasi 4 Jun, sasar tingkat kapasiti 50% | DagangNews Skip to main content

MSM Johor mula operasi 4 Jun, sasar tingkat kapasiti 50%

 

 


KUALA LUMPUR 2 Jun - MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. (MSM Johor) dijangka memulakan pengeluaran dan pembungkusan gula pada 4 Jun ini setelah menyelesaikan kerja penyelenggaraan dandang. 

 

Anak syarikat milik penuh MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) sebelum ini menutup sementara pengeluaran di kilang penapisannya selama 2 bulan berkuat kuasa 31 Mac.

 

Bagi membolehkan kilang itu kembali beroperasi, MSM Johor telah memperoleh semua kelulusan yang diperlukan dari pihak berkuasa dan badan pengawas yang berkaitan.

 

Prosedur juga diperakui memenuhi pematuhan penuh dengan keperluan piawaian industri dan polisi terutama dalam aspek keselamatan dan kualiti. 

 

Pelan penambahbaikan tersebut telah dipercepatkan lebih awal sebagai sebahagian daripada penambahbaikan strategik syarikat dalam memperkasakan kecekapan dan mempertingkatkan kadar penggunaan (UF) di MSM Johor.

 

 

Syed Feizal Syed Mohammad
Syed Feizal Syed Mohammad

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pelan penambahbaikan tersebut bukan sahaja akan meningkatkan kadar UF pengeluaran secara signifikan malah dilihat sebagai langkah proaktif bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang gangguan di luar jangkaan. 

 

Malah, katanya, ia juga tidak menjejaskan keuntungan syarikat kerana MSM masih dapat memenuhi permintaan jualan dengan menggunakan stok-stok gula sedia ada di MSM Johor dan MSM Prai Berhad bagi memenuhui keperluan domestik. 

 

"Bagaimanapun, terdapat sedikit gangguan dalam segmen eksport yang hanya memberikan impak minimum di mana nilai kontrak adalah kekal tidak terjejas. 

 

"Proses penghantaran telah dijadualkan semula bersama pelanggan-pelanggan tetap kami," katanya dalam kenyataan.

 

Penutupan sementara tersebut bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dirancang di samping mensasarkan peningkatan dalam kebolehupayaan operasi dan ketersediaan stok.

 

Kapasiti pengeluaran tahunan MSM Johor kekal sebanyak 1 juta tan dan akan terus merekodkan peningkatan berterusan dengan peningkatan hasil dari 89% kepada 92% dan peningkatan UF dari 16% kepada 22% untuk suku pertama 2021.

 

Syed Feizal berkata, MSM Johor dijangka mencapai sasaran 50% kadar UF menjelang suku ketiga tahun ini sejajar dengan kerja-kerja pelan penyelengaraan yang dipercepatkan.

 

“Kita akan akan terus memanfaatkan prospek MSM Johor sebagai salah satu strategi utama bukan sahaja dalam mengoptimumkan lebihan kapasiti, tetapi juga untuk menaiktaraf sebagai pusat penapisan berintegrasi dengan penghasilan lebih banyak produk-produk bernilai tambah," katanya.

 

Menurut beliau, usaha menembusi segmen pasaran baharu dengan penaiktarafan kapasiti bagi produk-produk bernilai tambah seperti Gula Cair dan Gula Sirap disasarkan akan meningkatkan kadar UF di MSM Johor sebanyak 14%. 

 

Katanya, ini turut membuka peluang kepada MSM untuk meluaskan kehadiran dalam pasaran global di pelbagai pasaran serantau yang berpotensi sebagai pengeluar gula berintegrasi bertaraf dunia. 

 

"Pembangunan variasi produk melalui MSM Johor juga akan memperkukuhkan kebolehupayaan operasi sekali gus mempertingkatkan hasil dan pengeluaran.

 

"MSM terus optimis dalam mengekalkan momentum dan mengecapi nilai yang menguntungkan bagi tahun ini disertai risiko yang minimum di sebalik kekangan yang tidak dijangka serta cabaran pasaran," tambah beliau. - DagangNews.com