MSM tutup kilang Johor bukan langkah bijak | DagangNews Skip to main content

MSM tutup kilang Johor bukan langkah bijak

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 9 April - Langkah MSM Malaysia Holdings Bhd. untuk menutup kilang penapisannya di MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd (MSM Johor) selama dua bulan dilihat bukan satu langkah bijak. 

 

Malah, bagi penganalisis ia hanya akan memberi kesan bukan sahaja kepada perolehan syarikat tetapi mungkin boleh menjejaskan permintaan dalam pasaran tempatan. 

 

Perkara ini menurut CGS-CIMB, akan memburukkan lagi situasi MSM ekoran kerugian yang lebih tinggi direkodkan menerusi kilang penapisan di Johor itu setelah syarikat itu merekodkan prestasi yang baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

 

"Walaupun ditutup 2 bulan sahaja (mulai 31 Mac), ia tetap akan membawa kepada kerugian dalam tempoh itu. Segala kos seperti pinjaman, susut nilai dan kos tetap pula akan terus berjalan," jelas penganalisisnya, Ivy Ng Lee Fang dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, pengeluar gula itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan kerja pembaikan dandang MSM Johor yang mengalami kerosakan dilakukan.

 

Selepas kerja itu selesai kelak, kilang itu dijangka dapat mencapai faktor penggunaan yang disasarkan pada suku ketiga tahun ini.

 

Semasa penutupan sementara pengeluaran, MSM akan menggunakan stok gula ditapis yang sedia ada di MSM Johor, disokong oleh pengeluaran daripada kilang penapis MSM Prai Bhd untuk dibekalkan ke pasaran domestik dan eksport.

 

Bagaimanapun, Lee Fang berkata, penutupan kilang itu pada ketika menjelangnya Hari Raya puasa dan pembukaan semula ekonomi, akan menyaksikan permintaan gula meningkat berbanding tempoh biasa. 

 

Ini hanya akan menyebabkan kumpulan ketinggalan untuk meraih potensi eksport yang kukuh, tambahnya.

 

"Kami negatif terhadap langkah ini memandangkan MSM tidak dapat menampung permintaan musim perayaan yang tinggi atau mungkin berdepan kesukaran memenuhi permintaan pelanggannya yang telah membuat tempahan pembelian awal," jelasnya lagi.

 

Apa yang membimbangkan firma itu juga, keputusan MSM itu akan menyebabkan berlakunya kekurangan gula bertapis dalam pasaran di negara ini. 

 

"Situasi ini mungkin menyebabkan kerajaan mempertimbangkan untuk meluluskan permit (AP) bagi gula bertapis, yang akan menyaksikan persaingan sengit dalam pasaran gula tempatan. 

 

"Selain itu, kami juga bimbang kebergantungan MSM terhadap kilang penapisan gulanya yang lama di Perai yang terpaksa memikul beban untuk memenuhi permintaan gula bertapis," katanya. 

 

Menurutnya, harga saham MSM sejak 26 Februari lalu telah menunjukkan prestasi yang baik dengan mengukuh sehingga 205% setakat ini. 

 

Saham MSM ketika ini diniagakan 44% lebih tinggi melepasi harga sasaran (TP) firma itu pada RM1.22 sesaham. 

 

"Tetapi disebabkan laporan ini, dan risiko kepada pendapatan kumpulan daripada kilang penapisan di Johor ini, kami menurunkan saranan kepada 'reduce' pada RM1.76 dan mengekalkan TP pada RM1.22," kata firma itu. 

 

Setakat 10.45 pagi ini, saham MSM susut 4.55% kepada RM1.68 sesaham. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, kerugian bersih MSM susut 76% kepada RM71.23 juta bagi tahun berbanding RM299.77 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

MSM menyifatkan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 menandakan kemajuan yang positif buat kumpulan ke arah pemulihan setelah mencatatkan kerugian 8 suku berturut-turut. 

 

Malah, syarikat itu berkata, kos penapisan berkurang sebanyak 3% berbanding tahun sebelum ini berikutan Kadar Penggunaan Kapasiti (UF) dan hasil yang lebih baik terutama di MSM Johor yang merekodkan peningkatan dalam hasil dari 88% kepada 90%, manakala UF bertambahbaik daripada 18% kepada 23%. - DagangNews.com