MSM, Wilmar Sugar bekerjasama wujudkan rantaian bekalan gula mampan | DagangNews Skip to main content

MSM, Wilmar Sugar bekerjasama wujudkan rantaian bekalan gula mampan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Feb – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Wilmar Sugar Pte Ltd (Wilmar Sugar) telah menandatangani satu perjanjian pada Disember 2021 untuk bekerjasama dalam penubuhan rantaian bekalan gula mampan.

 

Program gula mampan yang dihasilkan oleh syarikat induk Wilmar Sugar, Wilmar International Limited (Wilmar), melancarkan Polisi Gula Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Eksploitasi Manusia (NDPE) pada September 2021, menunjukkan komitmen oleh MSM dan Wilmar Sugar untuk melindungi alam sekitar, tenaga kerja dan komuniti sambil menggalakkan kemajuan dalam kecekapan operasi dan amalan terbaik.

 

MSM dan Wilmar Sugar akan memulakan usaha bersama untuk membantu dan menyokong satu sama lain dalam merintis pendekatan bagi membolehkan penyumberan gula mentah yang mampan dalam rantaian bekalan bersama MSM dan Wilmar Sugar dengan memberi tumpuan kepada pelaporan kebolehkesanan bekalan gula dan pemantauan prestasi kemampanan berdasarkan Polisi Gula NDPE.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, hasil daripada kerjasama dengan Wilmar Sugar, iaitu salah satu pemain terkemuka dalam komoditi gula, dan program kemampanan Gula NDPE mereka ini membolehkan MSM untuk mewujudkan kebolehkesanan gula mentah yang kukuh dan amalan mampan selaras dengan komitmen rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) MSM.

 

“Kami bergerak pantas dalam memastikan kami mewujudkan kemampanan dalam operasi dan perniagaan kami.

 

‘’Dengan itu, amatlah penting untuk memastikan kemampanan bermula dengan ekosistem rantaian bekalan. MSM menyasarkan untuk mendapatkan gula mentah yang mampan bagi pengeluaran pasaran tempatan dahulu.

 

‘’Kerjasama dengan Wilmar Sugar ini membawa kami selangkah lebih jauh dalam meningkatkan komitmen ESG dan kehadiran MSM ke pasaran yang lebih luas di seluruh dunia sebagai penapis gula premium yang mampan dan akan mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai syarikat 8 teratas penapis gula bersepadu di dunia,” kata Syed Feizal dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

Syed Feizal Syed Mohammad
                                         Syed Feizal Syed Mohammad

 

 

Ketua Gula Kumpulan Wilmar yang juga Pengarah Urusan Wilmar Sugar Pte Ltd, Jean-Luc Bohbot berkata, “Kami berbesar hati atas perkongsian jangka panjang kami dengan MSM dan komitmen yang mantap untuk kemampanan, kerjasama terbaharu kami ini akan menyediakan kedua-dua syarikat dengan keupayaan untuk menangani permintaan pengguna yang semakin meningkat untuk sumber produk yang mampan.

 

Menurutnya, pelancaran program Gula NDPE memenuhi permintaan pelanggan untuk sumber gula yang bertanggungjawab dan memupuk keterangkuman yang lebih baik untuk pekebun kecil tebu.

 

Tambahnya, kemampanan dalam sektor gula setakat ini hanya tertumpu kepada pensijilan pihak ketiga yang menyukarkan pekebun kecil tebu di seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan mampan.

 

“Program Gula NDPE dan kerjasama dengan MSM akan membolehkan penyediaan lebih banyak sokongan kepada pekebun kecil tebu di negara pengeluar utama, sekali gus membantu membawa gula mampan melalui rantaian bekalan daripada pekebun kecil kepada pengguna global,” kata Bohbot.

 

Melalui program ini, MSM akan meningkatkan nilai kemampanannya dan menunjukkan sokongannya ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab – Memastikan corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan, salah satu SDG oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Pada masa ini, MSM mengendalikan dua kilang penapisan gula, satu di Prai, Pulau Pinang dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1.05 juta tan gula bertapis, kilang penapisan gula terbesar negara, dan di Tanjung Langsat, Johor dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1 juta tan gula bertapis dan sedia untuk meningkatkan pengeluarannya pada 2022.

 

Wilmar Sugar mengendalikan perniagaan gula bersepadu merentasi keseluruhan rantaian nilai daripada perladangan tebu kepada pemprosesan, perdagangan dan pengeluaran produk pemanis. Ia mengendalikan kilang gula, loji penjanaan bersama, kilang penyulingan etanol dan penapisan gula di seluruh dunia, menghubungkan asal-usul dan destinasi utama melalui pasukan peneraju pasaran. – DagangNews.com