MSSG 2021 perkukuh budaya tadbir urus korporat syarikat tersenarai - SC | DagangNews Skip to main content

MSSG 2021 perkukuh budaya tadbir urus korporat syarikat tersenarai - SC

SC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 April - Kemas kini terbaharu kepada Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), MCCG 2021 menyaksikan pengenalan amalan terbaik baharu dan panduan lanjut bagi memperkukuh budaya tadbir urus korporat syarikat tersenarai. 

 

Kod terbaharu yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) itu memberi tumpuan kepada dasar dan amalan lembaga pengarah mengenai proses atau kriteria pemilihan serta pencalonan bagi pengarah, di samping panduan lanjut bagi amalan-amalan dengan tahap pemakaian yang rendah seperti yang dilaporkan dalam laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat tahunan SC.

 

Selain itu, MCCG 2021 turut memberi tumpuan kepada peranan lembaga dan pengurusan kanan dalam menangani risiko dan peluang kemampanan syarikat.

 

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata,  wujudnya keperluan yang kukuh terhadap tadbir urus korporat dan kepemimpinan lembaga pengarah yang baik, terutamanya ketika syarikat menghadapi tempoh pemulihan pasca wabak yang berpanjangan.

 

"MCCG 2021 menyokong lembaga pengarah untuk membangunkan ketahanan jangka panjang melalui
pemakaian dan pelaksanaan dasar dan amalan tadbir urus korporat yang akan menyokong syarikat tersenarai untuk menghadapi cabaran dalam persekitaran perniagaan yang pantas berubah-ubah.

 

"MCCG 2021 juga menangani keperluan mendesak bagi syarikat untuk menguruskan risiko dan peluang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan pengenalan kepada amalan terbaik baharu yang menekankan keperluan terhadap tindakan bersama oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Kemas kini terakhir MCCG adalah pada tahun 2017.

 

Sejak itu, pihak SC telah memerhatikan pemakaian Kod yang menggalakkan oleh syarikat tersenarai  dengan majoriti amalan terbaik mencatatkan tahap pemakaian melebihi 70%.

 

Bagi menggalakkan pelaksanaan pertimbangan objektif dan bebas yang selaras dengan amalan terbaik di peringkat global, MCCG 2021 tidak menggalakkan pelantikan ahli-ahli politik yang aktif dalam lembaga syarikat tersenarai.

 

MCCG 2021 mula berkuat kuasa hari ini dan kumpulan pertama syarikat yang mula melaporkan pemakaian amalan berkenaan adalah syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Disember 2021. 

 

Proses pengundian dua peringkat akan diguna pakai bagi resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung yang diadakan pada atau selepas 2 Januari 2022. - DagangNews.com