MTN setuju secara prinsip pelaksanaan moratorium penubuhan ladang hutan dalam HSK - PM | DagangNews Skip to main content

MTN setuju secara prinsip pelaksanaan moratorium penubuhan ladang hutan dalam HSK - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Dis - Majlis Tanah Negara (MTN) bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung selama 15 tahun.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelulusan diberi melalui mesyuarat MTN ke-79 itu turut mengambil perhatian bahawa terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

 

"Oleh yang demikian, sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan berkenaan, kerajaan negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi memastikan syarikat yang dilantik mematuhi syarat ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat MTN ke-79 dengan majlis dianggotai 10 wakil Kerajaan Persekutuan terdiri daripada menteri kanan serta menteri berkaitan bersama Menteri Besar, Ketua Menteri atau wakil.

 

Perdana Menteri berkata, MTN juga bersetuju dengan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam HSK di Semenanjung dan supaya semua kerajaan negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan serta penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.

 

"Mesyuarat MTN Ke-79 juga bersetuju dengan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 serta Jemaah Menteri pada 6 Januari lalu.

 

"MTN juga bersetuju supaya RUU itu dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama 2022. Dalam konteks ini, pemakaian RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 hanya akan terpakai di negeri-negeri selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, MTN ke-79 juga sudah mengesahkan keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang dipengerusikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 16 Februari lalu.

 

"Keputusan yang sudah dibuat pada mesyuarat itu perlu dibawa untuk persetujuan dan pengesahan MTN bagi membolehkan keputusan berkenaan dipersetujui dan disahkan, khususnya membabitkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan pada peringkat negeri," katanya. - DagangNews.com