SHAH ALAM 7 Sept. - MTUC menggesa Kementerian Sumber Manusia untuk tegas menolak sebarang cubaan para majikan menolak penguatkuasaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 mulai 1 September lalu.
Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, alasan yang diberikan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) untuk penangguhan itu adalah amat cetek dan hanya usaha berterusan di pihak majikan untuk menafikan hak asasi pekerja bagi mendapatkan kemudahan perumahan yang memuaskan.
MTUC ujar beliau, amat kesal dengan ugutan MEF bahawa para majikan terpaksa membuang pekerja kerana menanggung kos tinggi jika dipaksa mematuhi undang-undang baru mengenai kemudahan perumahan pekerja.
Menurutnya, sudah lumrah majikan di Malaysia membuat ugutan sedemikian setiap kali diminta untuk menyumbang serba sedikit bagi kebaikan pekerja di negara ini, tidak kira warga tempatan mahupun migran.
"Hakikatnya, sejak zaman berzaman, para majikan mengaut keuntungan lumayan – bukan menerusi teknologi baharu atau pengautomasian tetapi mengupah pekerja migran dan tempatan dengan gaji rendah dan kemudahan terhad.
"Pekerja migran turut ditindas dari segi kemudahan perumahan. Mereka dipaksa menginap beramai-ramai di dalam tapak kongsi, rumah teres atau pangsapuri yang serba kekurangan dan tanpa perlindungan perundangan yang secukupnya. Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang dipinda bertujuan menangani masalah ini.
"Kerajaan tidak harus tunduk kepada ugutan pemberhentian kerja yang disuarakan oleh MEF. Ugutan sama diberi semasa pandemik COVID-19 oleh majikan untuk memperoleh bantuan kewangan daripada kerajaan. Hakikatnya walaupun majikan memperoleh bantuan berbilion ringgit, ratusan ribu pekerja diberhentikan atau dipaksa menerima potongan gaji drastik,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Solomon berkata, hakikatnya ialah Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 telah diluluskan Parlimen Julai tahun lalu dan majikan diberikan lebih 12 bulan untuk mematuhi undang-undang baru itu.
Bagaimanapun kata beliau, kebanyakan majikan mengambil sikap tidak peduli untuk memperbaiki kediaman pekerja dan kediaman yang disediakan selaras dengan undang-undang berkenaan.
"Pada Mei lalu, kerajaan memberikan majikan tambahan tiga bulan untuk mematuhi pindaan akta berkenaan, namun majikan masih mengambil sikap acuh tak acuh.
"Sikap mereka amat dikesali, lebih-lebih lagi setelah beberapa tapak kediaman pekerja dikenal pasti sebagai kluster jangkitan COVID-19 kerana aspek kebersihan dan kemudahan untuk pekerja diabaikan,'' katanya.
Dan kini kata Solomon, seminggu selepas tarikh rasmi penguatkuasaan pindaan akta berkenaan, para majikan – menerusi MEF – mendakwa mereka tidak diberikan penerangan atau butiran terperinci mengenai undang-undang berkenaan oleh kerajaan.
"Mereka turut mendakwa terkejut dengan penetapan September 1 sebagai tarikh penguatkuasaan rang undang-undang yang diluluskan lebih setahun lalu! Semua alasan dan hujah MEF ini adalah cetek dan hanya mencerminkan niat untuk meneruskan budaya diskriminasi dan penganaiyaan terhadap pekerja oleh majikan di negara ini,'' ujarnya. - DagangNews.com