KUALA LUMPUR 30 Okt – Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) MTUC mengesyorkan kepada kerajaan supaya ahli lembaga yang terlibat dalam penutupan Utusan Melayu (M) Berhad dan gagal membayar pampasan kepada bekas pekerja diharamkan pendaftaran sebagai ahli lembaga untuk syarikat lain.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, MTUC amat kecewa dan menyelar pihak pengurusan Utusan yang tidak mengambil tahu dan lepas tangan atas keadaan bekas pekerja mereka sehingga ada antara mereka yang menderita akibat kesan penutupan syarikat.
“Membiarkan bekas pekerja berjuang untuk mendapatkan pampasan daripada syarikat Utusan, jelas menunjukan keperibadian Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang rosak dan tidak layak untuk menguruskan Syarikat.
“MTUC ingin mengingatkan syarikat bahawa pembayaran pampasan adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan setelah bekas pekerja menyumbangkan tenaga dan masa muda mereka untuk keuntungan syarikat sehingga dapat membeli aset-aset hartanah yang berjumlah jutaan ringgit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kamarul Baharin berkata, isu kegagalan syarikat membayar pampasan kepada pekerja adalah isu yang menjadi mimpi buruk kepada MTUC.
“Perjuangan MTUC terhadap Syarikat PERWAJA yang mengambil masa sehingga 7 tahun bagi pembayaran adalah penderitaan yang panjang untuk kaum pekerja,” jelas beliau.
Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan akan melantik pekerja dalam Ahli Lembaga Pengarah dalam GLC adalah untuk menjaga kebajikan pekerja dalam sebarang keputusan adalah langkah yang baik dalam tadbir urus Syarikat.
“MTUC mahu kepentingan dan kebajikan pekerja perlu diutamakan oleh mana-mana Syarikat yang digulungkan.
“Kerajaan perlu membuat pindaan terhadap Akta Syarikat, Akta Kerja 1955 dengan memasukkan kewajipan syarikat menjaga kebajikan bekas pekerja,” kata beliau.
MTUC kata Kamarul Bahrin, bersetuju dengan kenyataan daripada Tan Sri Johan Jaafar Mantan Ketua Pengarang Utusan Malaysia bahawa bekas kakitangan perlu dibayar segera pampasan. – DagangNews.com