TAHUN 2023 sudah berada di penghujung dan bakal melabuhkan tirainya. Hari demi hari yang berlalu sepanjang tahun 2023 pastinya meninggalkan kesan dan pengalaman yang mendalam kepada seluruh umat manusia.
Paling terkesan ialah kedurjanaan Israel-Zionis menzalimi umat Islam di negara berdaulat Palestin masih belum berjaya dihalang oleh masyarakat dunia.
Manakala pengkhabaran mengenai risiko penyebaran kembali wabak COVID-19 perlu diambil perhatian oleh semua pihak bagi memastikan penularan kembali wabak ini dapat dibendung segera.
Setiap daripada kita pastinya mempunyai perancangan untuk dilaksanakan di tahun hadapan dan ia merupakan langkah yang bijak. Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap perancangan pasti ada yang berjaya dilaksanakan, dan sebahagiannya tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
Begitulah buktinya kelemahan perancangan manusia yang sentiasa terbatas dan tidak menentu, manakala takdir dan ketentuan daripada Allah SWT adalah segalanya.
Firman Allah SWT, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (Al-Baqarah : 216)
Marilah kita merenung sejenak ke dalam diri dan bermuhasabah dengan menghitung kembali segala amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan sepanjang tahun ini. Adalah ia merupakan amalan yang baik dan diredhai oleh Allah SWT ataupun kemungkaran dan kemaksiatan yang dimurkai oleh Allah SWT?
Seringkali manusia mengeluh dengan sibuknya urusan kerjaya dan segala permasalahan dunia, sehingga tidak lagi merasai kelazatan dan manisnya ibadah, tiada lagi khusyuk di dalam solat, hati dan jiwanya menjadi keras serta malas untuk melakukan kebajikan dan tunduk kepadaNya.
Penyakit seperti ini tidak wajar dibiarkan kerana ia lebih merosakkan kehidupan seorang muslim melebihi bahayanya penularan COVID-19 yang mengancam nyawa. Ia perlu diubati dengan segera dan dimulai rawatannya dengan bermuhasabah terhadap segala amal perbuatan sepanjang tahun 2023 yang bakal berlalu ini.
Sebagai seorang mukmin, kita perlu sentiasa merenung ke dalam diri, di setiap masa, detik, jam, hari, bulan dan tahun dalam memastikan kedudukan kita masih dalam kerangka ikrar dan taat setia kita kepada segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya.
Firman Allah SWT, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu” (Al-Dzariyat : 56)
Kita perlu sentiasa bertanya kepada diri sendiri, adakah kehidupan seharian yang dilalui ini benar-benar mengikut saranan dan tauladan daripada Baginda SAW ataupun menyimpang jauh daripada sunnahnya.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW adalah sebaik-baik teladan dan ikutan bagi insan yang mengharapkan keredhaan Allah SWT dan kebahagiaan di akhirat” (Al-Ahzab : 21).
Adakah tindak tanduk dan perilaku kita sepanjang tahun ini menuju kepada keredhaanNya ataupun mengundang kemurkaan dan bala dariNya? Adakah kita telah menunaikan hak-hak Allah SWT dan Nabi SAW yang telah diamanahkan kepada kita?
Maka, lakukanlah perbandingan antara kebajikan dan kebaikan dan telah kita laksanakan dengan keburukan serta kejahatan yang juga telah kita lakukan. Melalui neraca penilaian sendiri yang tidak akan menipu, maka lakukanlah perubahan padanya dengan memperbanyakkan istighfar, bertaubat dan menyesali segala dosa yang dilakukan, serta berazam memperbaiki diri dengan menambahkan ibadah serta menjaga dan menambahbaik kualitinya.
Proses muhasabah diri dapat dilakukan dengan mengajukan persoalan kepada diri sendiri dan kemudiannya menjawab sendiri persoalan tersebut seikhlas hati, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Qiyamah ayat 14: “Bahkan manusia itu menjadi saksi ke atas dirinya sendiri”.
Muhasabah ini amat penting untuk dilakukan selagi hayat dikandung badan, sebelum daripada kita mengadap Allah SWT di hari perhitungan kelak. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Haaqqah ayat 18: “Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatupun daripada keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah)”.
Jawapan yang ikhlas daripada lubuk hati sanubari kita terhadap persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam diri akan menentukan siapa kita dan dimana kita.
Pastinya kita akan mengetahui seandainya besar nikmat dan kesan hasil daripada ketaatan untuk mencapai keredaan Allah SWT, semakin kita dekat dan cinta pada-Nya. Segala amalan yang dilakukan dirasakan tidak mencukupi, lantas diperbanyakkan lagi amalan demi mencapai kelazatan ibadah kepadaNya.
Ungkapan syukur tidak lekang dari bibirnya atas pertolongan dan inayah daripada Allah SWT yang membantu untuk sentiasa mengingatinya, bersyukur padanya dan menambah baik ibadah padanya.
Rasulullah SAW pernah berwasiat kepada Saidina Muaz RA untuk mengamalkan doa “Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepadaMu (mengingatiMu), mensyukuri nikmatMu, dan melakukan ibadah yang baik kepadaMu” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Sebaliknya, hati tidak akan dapat menipu apabila merasa kurangnya ibadah dan pergantungan kepadaNya. Tiada ketenangan di dalam diri dan kehidupan dirasakan sangat perit untuk dilalui.
Justeru kita perlu segera menegur diri sendiri akan kesalahan yang telah dilakukan, beristighfar sebanyaknya serta bertaubat kepadaNya dan berjanji kepada Allah SWT untuk tidak lagi mengulangi dosa-dosa yang telah dilakukan.
Ingatlah bahawa setiap manusia, walau betapa hebat kedudukannya atau panjang usianya, pasti akan berdiri di hadapan Allah SWT yang akan menghitung segala perbuatan manusia, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49: “Dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya;” dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis).”
Allah SWT juga telah mengingatkan hamba-hambaNya agar sentiasa merasa takut dan bertaubat kepadaNya. Mukmin sejati sentiasa bermuhasabah dan merasa malu kepadaNya dalam semua amal dan tingkah lakunya.
Mereka sentiasa melakukan perhitungan terhadap diri mereka sendiri dan memperbaiki setiap amalannya, sebelum dihadapkan pada hari perhitungan yang tidak ada lagi yang tersembunyi daripadaNya.
Keyakinan yang jitu setiap mukmin sentiasa merasakan pada setiap waktu bahawa Allah SWT Maha Mengetahui akan semua amalan, keadaan, tingkah laku dan bisikan-bisikan mereka, dan bahawa tidak ada sesuatu pun daripada urusan mereka yang tidak diketahuiNya.
Saranan di dalam al-Quran juga banyak menyebut tentang muhasabah di hadapan Allah SWT agar setiap manusia mempersiapkan jawapannya, selalu bertanya kepada diri sendiri selama hidup di dunia ini sebelum ditanya di akhirat nanti.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 6: “Maka sesungguhnya Kami akan tanyakan umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan tanyakan (pula) rasul-rasul (Kami).” Intisari ayat tersebut menunjukkan elemen kebertanggungjawaban di hadapan Allah SWT pada hari kiamat kelak, sama ada untuk para rasul, orang-orang yang beriman mahupun orang-orang kafir. Semuanya akan dipertanggungjawabkan serta dihisab di hadapan Allah SWT.
Muhasabah diri juga boleh dilakukan dengan bertanya kepada diri sendiri sebelum melakukan sesuatu perbuatan, iaitu adakah perbuatan ini sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan selari dengan petunjuk daripada Rasulullah SAW.
Kemudian, teruskan bertanya sekali lagi adakah benar amalan dan perbuatan ini tidak tersimpang daripada landasan agama atau tersesat daripada ajaranNya. Persoalan sebegini akan menyebabkan kita tersentak dan berfikir semula, sekiranya kita telah tersimpang jauh dari jalan-Nya.
Rasulullah SAW sentiasa mendidik para sahabat agar sentiasa bermuhasabah diri. Baginda selalu mengingatkan tentang beratnya hisab di akhirat.
Para sahabat mengetahui dan meyakini bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan mereka, dan natijahnya mereka akan dihisab pada hari kiamat, dan tidak ada yang dapat menyelamatkan diri mereka daripada dihitung itu kecuali muhasabah diri dan kejujuran terhadap diri sendiri.
Sesiapa yang sentiasa menghitung diri sendiri sebelum dihitungkan di akhirat nanti, pengakhirannya akan menjadi baik lantaran konsistensi dalam muhasabah diri dan segera memperbaiki segala kelemahan diri. Manakala sesiapa yang tidak menghitung dirinya sendiri, tiada peluang baginya untuk melakukan perubahan di dunia, maka mereka akan alami kekesalan yang berpanjangan dan penantian pada hari kiamat menjadi amat berat baginya.
Marilah kita bersama merenung ke dalam diri untuk menilai kembali segala amalan yang telah dilaksanakan pada tahun 2023 ini. Adakah ia memadai dan mencukupi untuk kita persembahkan dihadapan Allah SWT di akhirat nanti?
Adakah dengan amalan-amalan ini akan membebaskan kita daripada siksa kubur dan penghitungan di Mahsyar kelak? Yang manakah lebih berat timbangannya, dosa atau pahala daripada amalan kita di dunia ini?
Bertitik tolak daripada segala persoalan ini, wajar bagi kita semua untuk sentiasa bermuhasabah dan merenung diri, serta berazam untuk memperbaiki amalan diri di tahun baharu yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
Mudah-mudahan tahun baharu 2024 mampu dimulakan dengan perubahan terbaik dari dalam diri hasil daripada keikhlasan muhasabah diri pada tahun ini. - DagangNews.com