Muhd. Noor dilantik Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia | DagangNews Skip to main content

Muhd. Noor dilantik Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia

Muhd. Noor Muhd. Yunus

Muhd. Noor Muhd. Yunus 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) melantik Dr. Muhd. Noor Muhd. Yunus sebagai Presiden MARS yang baharu sekali gus menggantikan Dr. Wan Manshol Wan Zin berkuat kuasa 25 September 2020.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang telah diadakan di Bangi Golf Resort, Bangi.

Muhd. Noor sebelum ini pernah berkhidmat di Agensi Nuklear Malaysia lebih daripada 20 tahun sebagai Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Agensi Nuklear Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Beliau memegang jawatan tersebut sebelum disandang oleh Dr. Wan Mashol Wan Zin.

Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan lain seperti Ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Ahli Pengarah Lembaga EPIC (anak syarikat Cenviro Sdn. Bhd.), Pengarah TGL (Uganda) dan Penasihat Teknikal ECE Sdn. Bhd..

Melalui pelantikan itu, Muhd. Noor turut dibantu oleh Setiausaha iaitu Hasfazilah Hassan; Penolong Setiausaha, Sabariah Kader Ibrahim dan Bendahari iaitu Dr. Mazleha Maskin.

Selain itu juga, Ahli Majlis MARS sesi 2020-2022 turut disertai oleh lapan Exco iaitu Prof. Dr. Wan Mohtar W. Yusoff, Dr. Mazleha Maskin, Dr. Azhar Mohamad, Dr. Aswir Abd Rashed, Dr. Sodian Ibrahim, Abdul Basid Ramli, Hasbullah Mustaffa dan Norfaizah Mohamed.

MARS merupakan persatuan yang dianggotai oleh pegawai-pegawai penyelidik atau saintis dengan pelbagai kepakaran daripada institusi-institusi penyelidikan di Malaysia seperti Agensi Nuklear Malaysia, SIRIM, IMR, MARDI, STRIDE, FRIM dan pelbagai lagi.

MARS juga sangat sinonim dengan penganjuran Malaysia Technology Expo yang diadakan setiap tahun sejak 17 tahun lalu.

Persatuan itu juga turut membawa inovasi dari Malaysia untuk dipertandingkan ke luar negara seperti Korea, Geneva dan China. - DagangNews.com