Muhibbah Engineering berpotensi raih kontrak baharu sektor pembinaan, bekal kren menara bagi projek luar negara | DagangNews Skip to main content

Muhibbah Engineering berpotensi raih kontrak baharu sektor pembinaan, bekal kren menara bagi projek luar negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Muhibbah Engineering (M) Bhd berpotensi memperoleh kontrak baharu dalam sektor pembinaan dan pembekalan kren menara bagi projek luar negara berdasarkan pengalaman yang dimiliki kumpulan itu.

 

CGS International berkata, walaupun masih belum memenangi sebarang kontrak besar tahun ini tetapi kumpulan itu sudah mengemukakan tender pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi medan gas Lang Lebah di Sarawak. 

 

Katanya, kumpulan itu merupakan pendahulu untuk mendapatkan projek itu memandangkan pengalaman terdahulunya bagi projek yanghampir sama di Gansar, Bekok dan Bindu di Terengganu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan bagi segmen pembinaannya juga meningkat pada suku kedua tahun ini dengan keuntungan kasar sebanyak RM40 juta didorong EPCC dan peranan pemasangannya untuk projek Gansar di Terengganu untuk Petronas Carigali.

 

"Fokus Muhibbah bukan dalam infrastruktur kerajaan atau ruang pusat data tetapi lebih kepada pembinaan berasaskan marin dan platform luar pesisir yang memanfaatkan lesen fabrikasi Petronas.

 

"Perniagaan kren di bawah Favelle Favco telah dijemput untuk memasuki tender pembekalan kren menara bagi projek pembinaan Neom di Arab Saudi, tender akan ditutup pada penghujung September 2024 dengan potensi anugerah pada awal tahun depan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International berkata, Lapangan Terbang Kemboja menyumbang sebahagian besar keuntungan bersekutu separuh pertama 2024 kumpulan, yang meningkat 63% kepada RM30 juta.

 

Katanya, The Khmer Times pada 3 September 2024 melaporkan, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Techno di Kandal, berhampiran Phnom Penh sudah 80% siap dan ia akan dibuka pada pertengahan 2025, menggantikan lapangan terbang Phnom Penh.

 

"Kami mengekalkan pandangan, senario yang paling mungkin melibatkan Lapangan Terbang Kemboja yang menerima pampasan untuk pelaburan yang ditanggung sehingga konsesi lapangan terbang Phnom Penh dan ia akan terlibat bagi mengendalikan lapangan terbang baharu di Kandal, berdasarkan struktur bayaran tetap," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.34 sesaham.- DagangNews.com