Muhyiddin harap kerajaan penuhi Perjanjian Malaysia 1963 untuk rakyat Sabah dan Sarawak | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin harap kerajaan penuhi Perjanjian Malaysia 1963 untuk rakyat Sabah dan Sarawak

 

KUALA LUMPUR 16 Sept – Kerajaan diharap dapat meneruskan usaha-usaha untuk memenuhi semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 yang mana beberapa pencapaian telah terhasil semasa era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

 

‘’Usaha ini adalah amat penting dan bermakna kepada rakyat Sabah dan Sarawak  yang pastinya akan memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dan integrasi nasional di negara kita,’’ kata beliau selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam ucapan sempena sambutan ke-58 Hari Malaysia di sini hari ini.

 

Muhyiddin berkata, proses penubuhan Malaysia adalah amat bersejarah. Bermula dengan cadangan pembentukan gagasan kerjasama politik dan ekonomi oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj di Singapura pada bulan Mei 1961, diikuti penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dan kemudiannya penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya diadakan tinjauan penduduk Sabah dan Sarawak.

 

Hasil tinjauan selama tiga bulan pada tahun 1962 mendapati 80% penduduk yang ditinjau menyokong penubuhan Malaysia.

 

Selepas beberapa siri rundingan, akhirnya Perjanjian Malaysia telah ditandatangani oleh pemimpin Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada bulan Julai 1963 dan tertubuhlah Malaysia.

 

Muhyiddin berkata, sambutan Hari Malaysia tahun ini membuatkan beliau mengimbau kembali susah payah dan jerih perih yang terpaksa dilalui oleh pejuang terdahulu ketika hendak menubuhkan Malaysia.

 

Menurutnya, cabaran yang dilalui menuntut kesabaran, kecekalan dan daya juang yang tinggi dalam kalangan pemimpin dan rakyat negara ini yang terdahulu.

 

‘’Jika 58 tahun lalu para pejuang negara berkorban jiwa dan raga untuk mempertahankan pertiwi yang berdaulat dan merdeka, hari ini pada tahun 2021, anak watan sekali lagi tampil menjadi benteng barisan hadapan daripada serangan musuh halimunan.

 

‘’Syabas kepada setiap rakyat Malaysia yang telah memainkan peranan masing-masing, berjuang dengan cara sendiri untuk memerangi COVID-19,’’ kata beliau.

 

Muhyiddin berkata, sama ada dengan mematuhi Peraturan Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan atau menyahut seruan mengambil vaksin, komitmen anda telah membantu usaha untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik dan merintis jalan ke arah pemulihan negara yang diidam-idamkan oleh kita semua.

 

Katanya, berbekalkan semangat perwira dan pejuang terdahulu, beliau yakin dan percaya semua rakyat mampu mencipta keajaiban untuk membawa negara keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi kesan daripada pandemik ini.

 

‘’Selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya akan memastikan setiap perancangan untuk merancakkan semula aktiviti sosioekonomi negara dibuat secara komprehensif, teratur dan lestari,’’ katanya.

 

Yang penting kata beliau, setiap rakyat haruslah dapat merasai nikmat dan manfaat daripadanya selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama  2030.

 

‘’Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, 2021 adalah Tahun Pemulihan Malaysia. Justeru, Hari Malaysia 2021 adalah sambutan yang istimewa, kerana pada tahun inilah kita memasang azam dan iltizam untuk keluar dari pandemik, tinggalkan ketakutan dan bangkit kembali daripada kepedihan setahun lampau.

 

‘’Ya, ada antara kita kehilangan insan tersayang yang menjadi korban COVID-19, malah mungkin kita sendiri pernah menjadi mangsanya.

 

‘’Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya dan takziah kepada waris yang tinggal. InsyaAllah, saya doakan episod duka ini akan berlalu dan kita akan meneruskan kehidupan,’’ kata Muhyiddin. – DagangNews.com