Muhyiddin - MPN akan teliti input wakil industri pelancongan, bawa ke perhatian PM | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin - MPN akan teliti input wakil industri pelancongan, bawa ke perhatian PM

MUHYIDDIN Yassin menerima memorandum dari wakil-wakil pengusaha industri pelancongan semasa sesi dialog MPN di Langkawi, Khamis.

 

 

LANGKAWI 16 Sept - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneliti input dan cadangan wakil-wakil Pengusaha Hotel, Pengusaha Homestay, Pengusaha Kereta Sewa dan Pemandu Teksi yang meminta insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang teruk terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abd Mutalib, dan disertai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang bersama-sama berdialog dengan wakil-wakil industri. 

 

''Pada majlis dialog tersebut, saya telah menerima beberapa memorandum dari wakil-wakil pengusaha industri pelancongan dan Insya-Allah saya akan membawa pandangan dan cadangan mereka ke Majlis Pemulihan Negara dan juga ke perhatian Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri. 

 

''Majoriti dari Pengusaha Hotel dan Homestay merayu kepada Kerajaan untuk memberikan mereka ruang dan insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

''Mereka juga memberikan komitmen untuk memastikan semua kakitangan menerima suntikan vaksin bersama jaminan semua fasiliti dan fasiliti penginapan disanitasi dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut Muhyiddin, hari ini saya berpeluang untuk memantau dan melihat sendiri persediaan pembukaan sektor pelancongan domestik di Pulau Langkawi seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara. 
 

 

mpn
MUHYIDDIN Yassin berbual dengan wakil-wakil industri pelancongan semasa sesi dialog di Langkawi pada 16 September 2021.

 

 

Beliau berkata, Langkawi merupakan destinasi pertama yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri. 

 

''Dibawah pakej rangsangan ekonomi yang telah saya umumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta telah dimanfaatkan oleh rakyat dan perniagaan di Pulau Langkawi. 

 

''Antaranya, Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) sebanyak RM19 juta telah diberikan kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1, 522 majikan yang memanfaatkan 31, 852 pekerja.

 

''Sebanyak RM386,500 juga telah diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas, manakala sejumlah RM35,400 telah diberikan kepada 59 pengusaha inap desa,'' kata beliau.

 

Muhyiddin berkata, sebagaimana yang dimaklumi, sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pada tahun 2019 sebelum pandemik, sektor ini menyumbang sebanyak 15.9% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Berikutan penutupan sempadan negara dan Perintah Kawalan Pergerakan, sektor ini antara sektor yang paling terjejas oleh pandemik COVID-19. 

 

''Besar harapan saya agar kejayaan pembukaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pembukaan destinasi gelembung pelancongan dengan selamat dan teratur,'' katanya.

 

Menurut beliau, kejayaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini juga bakal menjadi penanda aras kepada pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain dalam masa terdekat, insya-Allah. 

 

''Saya berharap semua yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik ini terutamanya peniaga kecil dan sederhana, dapat menikmati manfaat daripada pembukaan gelembung pelancongan ini. 

 

''Ingin saya tegaskan, walaupun kita telah lengkap divaksin dan diberikan beberapa kelonggaran, saya berharap kita semua dapat terus patuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

 

''Kepada mereka yang sudah dan bakal tiba untuk becuti di Pulau Langkawi, saya ucapkan selamat beristirahat dan semoga anda semua terus dilindungi, Insya-Allah,'' kata beliau. - DagangNews.com