Muhyiddin persoal kerajaan mengenai jangka masa pelaksanaan subsidi bersasar | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin persoal kerajaan mengenai jangka masa pelaksanaan subsidi bersasar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan kerjaan mengenai jangka masa masa pelaksanaan rasionalisasi atau subsidi bersasar kerana tiada mekanisme khusus disebut semasa sesi pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan memperuntukkan RM52.8 bilion untuk subsidi dan bantuan pada tahun hadapan namun mekanisme pelaksanaan tidak dijelaskan.

 

Katanya, dalam keadaan mekanisme rasionalisasi subsidi masih belum diputuskan, perkara ini tentunya akan mengambil masa yang agak lama dan penentuan ini amat penting kerana tekanan kos sara hidup dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira kelas pendapatan. 

 

"Adakah kerajaan akan menggunakan kategori kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 sebagai asas penentuan atau terdapat formula baharu untuk menentukan siapa yang dapat dan siapa yang tidak dapat menikmati subsidi?

 

"Apabila rasionalisasi subsidi dilaksanakan, apakah langkah kerajaan untuk mengelakkan insiden penyelewengan dan ketirisan? Kalau kita lihat di stesen minyak sebagai contoh, bagaimanakah kerajaan hendak menentukan hanya mereka yang layak sahaja boleh membeli petrol bersubsidi? Sejauh mana penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan cekap di seluruh negara untuk mengelak ketirisan dalam agihan subsidi? 

 

"Seperkara lagi, bilakah masanya hasil penjimatan subsidi hendak diagihkan kepada rakyat yang layak menerimanya? Adakah dalam masa setahun atau dua tahun lagi?," katanya semasa perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Dalam pada itu, beliau turut bertanya kepada kerajaan adakah kajian menyeluruh sudah dibuat bagi menilai kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidi kepada rakyat serta ekonomi negara dan apakah hasil dapatan daripada kajian tersebut.

 

Beliau berkata, berdasarkan pandangan pakar ekonomi, penarikan semula subsidi terutama ketika harga minyak yang sedang tinggi akan menyebabkan kesan gandaan atau ripple effect (dengan izin) terhadap keseluruhan sektor ekonomi. 

 

"Walaupun kita boleh bersetuju rasionalisasi subsidi dilaksanakan untuk memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan, namun pelaksanaan langkah tersebut mesti dipastikan tidak menambah beban yang ditanggung oleh rakyat. 

 

"Mesti ada suatu langkah untuk menampan atau cushion (dengan izin) impak rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi petrol, ke atas rakyat. 

 

"Justeru, kaedah pemantauan dan penilaian subsidi secara lebih menyeluruh hendaklah diwujudkan bagi menilai keberkesanannya dan memastikan harga barangan di pasaran tidak meningkat secara mendadak apabila langkah ini dilaksanakan," katanya.  - DagangNews.com