Muhyiddin: Raikan Deepavali mengikut SOP COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin: Raikan Deepavali mengikut SOP COVID-19


KUALA LUMPUR 4 Nov - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seisi keluarganya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada rakyat Malaysia, terutama yang beragama Hindu, dan mengingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP kerana virus COVID-19 masih wujud.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata, sambutan Deepavali kali ini sememangnya berbeza dari tahun lalu walaupun knegara masih lagi berada dalam pandemik COVID-19.

 

Tahun lalu ujar beliau, rakyat hanya dapat meraikannya bersama ahli keluarga di rumah sahaja kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan, tahun ini tidak lagi.

 

Kini ujar beliau, rakyat sudah boleh beraya bersama ahli keluarga dan rakan-rakan namun dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

 

''Ini merupakan hasil pelaksanaan dan kerjasama anda semua dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

''Jumlah populasi dewasa yang menerima dua dos vaksin lengkap sudah pun melebihi 95% manakala sektor-sektor ekonomi dan sosial telah dibuka hampir sepenuhnya,'' katanya yang juga bekas Perdana Menteri dalam perutusan menerusi Facebooknya malam tadi.

 

''Seperti yang saya selalu sebutkan, usaha-usaha ke arah pemulihan negara tidak hanya boleh dilakukan oleh pihak kerajaan sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk pihak swasta dan rakyat sendiri. Kita bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita,'' katanya.

 

Muhyiddin berkata, dengan pembukaan pelbagai sektor khususnya ekonomi, pastinya akan memberi lebih sinar kepada semua rakyat, terutama golongan yang terjejas punca pendapatan mereka.

 

''Saya gembira melihat orang ramai sudah keluar berbelanja seperti biasa termasuk penganut agama Hindu yang keluar membeli-belah sebagai persiapan menyambut perayaan ini.

 

''Namun begitu, dalam kita meneruskan kehidupan seperti biasa dan meraikan apa sahaja perayaan, kita tidak boleh leka dan lupa bahawa virus COVID-19 masih lagi berada di sekeliling kita. Justeru kita perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua.

 

''Jika kita menerima tetamu atau berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan taulan sentiasalah beringat, pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal, elakkan bersalaman dan sentiasa mencuci tangan menggunakan sanitizer. Bagi yang bergejala, duduk di rumah dan ambil ujian saringan sebagai langkah berjaga-jaga,'' ujarnya.

 

Muhyiddin berharap sambutan Deepavali yang lebih meriah pada tahun ini dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum dan agama di bumi tercinta Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kestabilan dan keharmonian negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia. - DagangNews.com