Muhyiddin setuju kaji pengeluaran akaun 1 KWSP | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin setuju kaji pengeluaran akaun 1 KWSP

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hangat diperdebatkan baru-baru ini. 

Pelbagai pihak mengutarakan pandangan  untuk kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan dalam Akaun 1 KWSP bagi membantu rakyat yang mempunyai masalah kewangan dan benar-benar memerlukan.

Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula pengeluaran wang dari akaun 1 KWSP oleh pencarum. 

Jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara berkenaan juga sudah dibawa ke tahap perbincangan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

 

muhyiddin
Muhyiddin Yassin

 

Belanjawan 2021 nanti ada bantuan yang kerajaan akan sampaikan. Jika ia dianggap memadai, tidak perlu mengeluarkan yang disimpan itu.

"Kita akan teliti secara halus dan (mempertimbangkan keadaan) kumpulan tertentu yang dianggap teruk terjejas, contohnya mereka yang dibuang kerja,” katanya dalam sebuah wawancara hari ini. 

Tambah Muhyiddin, kumpulan sasar itu perlu difikirkan terlebih dahulu dan pengumuman akan dibuat oleh Tengku Zafrul kelak. 

Sejak penularan COVID-19, kerajaan bersetuju untuk membenarkan pencarum mengeluarkan RM500 setiap bulan selama setahun dari akaun 2 KWSP menerusi i-Lestari.

Selain itu, caruman pekerja yang asalnya merangkumi 11% daripada jumlah gaji diturunkan kepada 7% yang melibatkan RM700 juta sebulan. 

Bagaimanapun, lebih daripada 30% pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM5,000.

Jelas Muhyiddin, jumlah itu tidak semestinya dapat menangani masalah aliran tunai yang dihadapi pencarum. - DagangNews.com