Muhyiddin sukarela terima suntikan vaksin pertama | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin sukarela terima suntikan vaksin pertama

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi antara individu pertama yang menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

Langkah itu bertujuan meyakinkan rakyat tempatan bahawa vaksin yang diperoleh dan akan digunakan selamat serta berkesan. 

 

Katanya, bekalan satu juta dos vaksin dari Pfizer Inc. akan diterima dan diberikan kepada kumpulan sasar seawal Februari 2021.

 

“Kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat farmaseutikal yang lain bagi memastikan negara kita mempunyai jaminan akses bekalan vaksin percuma yang mencukupi.

 

“Vaksin yang akan diperoleh akan dipastikan selamat dan berkesan. Bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh selamat dan berkesan, saya akan menjadi antara individu pertama untuk menerima suntikan vaksin COVID-19. 

 

“Ini akan diikuti petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasar, kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik,” katanya dalam pengumuman perkembangan vaksin COVID-19 menerusi hantaran video di Facebook miliknya hari ini. 

 

Setakat ini, Muhyiddin berkata, kerajaan berjaya memperoleh jaminan bekalan vaksin cukup untuk diberikan kepada 80% atau 26.5 juta penduduk Malaysia, iaitu melebihi sasaran awal 70% sebelum ini. 

 

Bekalan vaksin daripada COVID-19 vaccine global access (COVAX) dan Pfizer merangkumi 30% populasi Malaysia. 

 

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan kerajaan telah menandatangani jaminan bekalan vaksin daripada AstraZeneca yang cukup untuk vaksinasi 10% lagi penduduk negara ini. 

 

“Hari ini, suka cita saya maklumkan bahawa kerajaan baru sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan 10% lagi.



“Kerajaan dalam rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan vaksin bertambah melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

 

“Melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dimeterai buat masa ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah AS$504.4 juta atau RM2.05 bilion,” tambah Muhyiddin. - DagangNews.com