MYAirline perlu lunas tunggakan gaji kakitangan, bayaran balik kepada penumpang jika mahu beroperasi semula - Kementerian Pengangkutan | DagangNews Skip to main content

MYAirline perlu lunas tunggakan gaji kakitangan, bayaran balik kepada penumpang jika mahu beroperasi semula - Kementerian Pengangkutan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Kementerian Pengangkutan tidak akan membenarkan MYAirline Sdn Bhd beroperasi semula, jika syarikat itu tidak melunaskan tunggakan gaji kakitangan serta membuat bayaran balik kepada penumpang.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan syarikat terbabit perlu melunaskan terlebih dahulu dua syarat terbabit, jika mahu mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) untuk beroperasi semula.

 

"Kita akan bertemu dengan mereka kerana ingin mendengar sendiri apa cadangan mereka. Apa status sekarang ini kerana keutamaan ketika ini, apa sahaja permohonan yang mereka ingin buat, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi, jika mereka mahu memulakan semula operasi.

 

"Pertama, mereka perlu berusaha memastikan 'refund' (bayaran balik) dibuat. Kedua, apa sahaja tertunggak terhadap kakitangan mereka, perlu dibayar. Jika mereka boleh memenuhi dua syarat ini, baru kita boleh berbincang. Jika tidak, 'no way' (tidak dibenarkan)," katanya sidang media di Putrajaya, hari ini.

 

Media hari ini melaporkan MYAirline  memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada akhir Disember 2023, menurut sumber.

 

Sehubungan itu, sumber berkenaan yang tidak menyatakan nama pelabur berharap, MYAirline boleh melaksanakan usaha untuk menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.

 

Loke berkata, sekiranya mereka melaksanakan dua syarat terbabit, sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi perlu mengikut prosedur ditetapkan, termasuk syarat 51% pegangan saham syarikat Malaysia.

 

Mengulas isu berkaitan penemuan palam pintu dipercayai miliki pesawat Alaska Airline yang tertera perkataan 'Buatan Malaysia', beliau tidak boleh memberi ulasan kerana tidak menerima sebarang maklumat.

 

Bagaimanapun katanya, jika terdapat pemohonan rasmi daripada syarikat penerbangan berkenaan, pihaknya akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk meneliti.

 

"Kita belum terima apa-apa maklumat lagi, saya tak boleh komen kerana ia bukan di bawah kawal selia kita dan saya tak boleh bagi komen secara umum.

 

"Kita pun tidak tahu adakah ia sahih atau tidak kerana hanya mengikut laporan media daripada seorang pemerhati," katanya.

 

Mengenai pemeriksaan terhadap sistem kawalan kemudi Boeing 737-8 (MAX) untuk tujuan mengesan perkakasan yang longgar, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Norazman Mahmud pula mengesahkan syarikat pengendali penerbangan berpangkalan di Malaysia sudah melaksanakan perkara terbabit.

 

"Untuk Malaysia Airlines dan Batik Airlines, semua sudah diperiksa, tidak sebarang penemuan," katanya.

 

Media sebelum ini melaporkan syarikat pengendali penerbangan berpangkalan di Malaysia diarah memeriksa sistem kawalan kemudi Boeing 737-8 (MAX) untuk tujuan mengesan perkakasan yang longgar, lapor Berita Harian.

 

Maklumat keselamatan oleh CAAM yang dikeluarkan pada Khamis lalu, mengarahkan pengendali menjalankan pemeriksaan pesawat Boeing 737 MAX untuk mengesan satu 'bolt' seperti yang disenaraikan dalam nasihat oleh Syarikat Boeing. - DagangNews.com