MyDIGITAL Corp, Accenture Malaysia pacu Rangka Tindakan Ekonomi Digital dan 4IR | DagangNews Skip to main content

MyDIGITAL Corp, Accenture Malaysia pacu Rangka Tindakan Ekonomi Digital dan 4IR

KUALA LUMPUR 7 Sept - Langkah kerjasama antara MyDIGITAL Corporation dan Accenture Malaysia akan memacu serta melonjakkan lagi Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MDEB) serta Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), terutama dalam menggalakkan budaya dan kemampanan digital.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha yang dimuktamadkan menerusi pemeteraian Surat Hasrat pada semalam, akan turut menyaksikan kedua-dua pihak meninjau serta mengenal pasti peluang untuk meningkatkan daya saing ekonomi melalui pendigitalan.

 

Menurutnya, ini juga meliputi usaha kerjasama bagi membangunkan tenaga kerja digital yang serba tangkas dan cekap serta mendorong transformasi digital dalam sektor awam.

 

Dalam satu kenyataan, beliau berkata sejak penubuhannya, MyDIGITAL Corporation telah berperanan penting untuk mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara yang digerakkan secara digital, berpendapatan tinggi serta fokus untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital, Bernama melaporkan.

 

“Setakat ini, MyDIGITAL Corporation telah terlibat dan bekerjasama dengan sejumlah  11 syarikat daripada sektor swasta termasuk Intel Malaysia, Microsoft (Malaysia), Cisco Systems Inc, Petrosains Sdn Bhd dan Axiata Group Bhd.

 

“Seiring dengan lebih banyak rancangan kerjasama, saya yakin kita mampu menjana  aspek pembangunan sosioekonomi yang bertanggungjawab, inklusif serta mampan menerusi ekonomi dan ekosistem digital yang pesat," kata beliau. - DagangNews.com