'#MyDigitalWorkforce Week' di MTM’21 tawar 5,000 peluang kerja | DagangNews Skip to main content

'#MyDigitalWorkforce Week' di MTM’21 tawar 5,000 peluang kerja

Sumitra Nair
Sumitra Nair

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) memperkenalkan semula #MyDigitalWorkforce Week dalam minggu ketiga Malaysia Tech Month 2021 (MTM’21).

 

Program secara maya yang bermula pada 16 hingga 30 Ogos 2021 itu akan menampilkan pelbagai siri webinar berkaitan dengan pekerjaan digital dan kesedaran kerjaya, peluang latihan dan peningkatan kemahiran serta ekspo pekerjaan yang bertujuan untuk mempersiapkan tenaga kerja Malaysia dalam ekonomi digital. 

 

Pengajuran program berkenaan digerakkan dengan objektif untuk memadankan bakal pekerja dengan majikan yang sedang mencari bakat dalam bidang digital serta mewujudkan kesedaran mengenai pekerjaan digital kepada semua. 

 

Dalam pada itu, program selama seminggu itu juga menawarkan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada pekerja dan mereka yang sedang mencari pekerjaan. 

 

Menariknya, #MyDigitalWorkforce Week menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dari lebih 100 syarikat seperti of KPMG, Dell Technologies, Shopee dan Petronas Digital.

 

Naib Presiden dan Ketua Kemahiran Digital dan Pekerjaan MDEC, Dr. Sumitra Nair berkata, minggu ketiga Malaysia Tech Month secara keseluruhannya adalah berkaitan dengan pekerjaan dan kemahiran dalam ekonomi digital. 

 

"Peserta akan berpeluang berinteraksi dengan bakal majikan, penyedia latihan dan eksekutif MDEC. 

 

"Kesemua mereka akan bekerjasama untuk menyediakan panduan praktikal dalam latihan dan peningkatan kemahiran dalam pekerjaan digital yang ketika ini berkembang cukup pantas," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelancaran #MyDigitalWorkforce Week akan dimulakan dengan sesi ucaptama ahli panel yang disertai oleh Intel, MDEC, Korn Ferry, Persatuan Digital Malaysia dan Sarawak Digital Economy Corporation.

 

Ucaptama tersebut meletakkan fokus kepada menyediakan bakal pekerja dengan gambaran sebenar pasaran dan apa yang boleh mereka lakukan untuk mempersiapkan diri mereka sebelum menceburi pekerjaan dalam ekonomi digital. 

 

Program tersebut juga menawarkan 20 sesi webinar dengan melibatkan 40 tetamu jemputan dari syarikat yang menawarkan pekerjaan. 

 

Minggu berkenaan akan menawarkan tumpuan topik yang berbeza seperti berikut;

  • Hari 1: Pembangunan Perisian 
  • Hari 2: Pembangunan Perisian & Data 
  • Hari 3: Keselamatan Siber 
  • Hari 4 & 5: Perkhidmatan Perniagaan Digital Global 

 

Sesi webinar tersebut melibatkan tetamu jemputan dari organinasi yang cukup dikenali seperti AXA Affin, CIMB, Zalora, Oracle, Karuna (Sarawak) dan PPG Coating. 

 

MDEC juga bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menganjurkan lebih 70 program satelit #MyDigitalWorkforce Week seperti syarikat latihan dan pakar industri yang akan menawarkan webinar, sesi panel dan latihan dalam teknologi digital. 

 

Antara syarikat yang terlibat adalah 42KL, HELP University, General Assembly, Trainocate (M) Sdn Bhd dan Open Learning Global (M) Sdn Bhd. - DagangNews.com