MyEG sasar 50% penguasaan pasaran cukai jalan, insurans - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

MyEG sasar 50% penguasaan pasaran cukai jalan, insurans - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Syarikat perkhidmatan teknologi, MY E.G. Services Berhad (MyEG) berhasrat untuk meningkatkan penguasaan pasaran pembaharuan insurans motosikal dan cukai jalan (MITR) sekitar 40% hingga 50%.

 

Ini dijangka dicapai menjelang tiga tahun akan datang, daripada 10% penguasaan pasaran yang dipegangnya ketika ini, menurut Penganalisis di CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam.

 

“Kumpulan itu memberitahu bahawa perkhidmatan e-kerajaannya yang sedia ada tidak terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dan sebaliknya menyaksikan peningkatan jumlah transaksi dalam talian susulan kaunter kerajaan ditutup ketika tempoh ini. 

 

“Dalam pada itu, kumpulan mendedahkan bahawa perkhidmatan baharu seperti pembaharuan MITR dalam talian, di mana bermula pada suku keempat 2020 (4Q20) kian menerima sambutan. 

 

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan perkhidmatan melibatkan pengangkutan jalan dan imigresen akan terus stabil, menyumbang sehingga 65% daripada hasil kumpulan pada tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding 70% pada FY20,” jelas Mohd Shanaz dalam satu nota kajian.

 

Mohd Shanaz memberitahu bahawa CGS-CIMB telah menganjurkan perjumpaan secara maya dengan Pengarah Urusan MyEG, Wong Thean Soon yang turut melibatkan lima pengurus dana dari Eropah, pada minggu lalu. 

 

Dalam perjumpaan itu, ujar Mohd Shanaz, para pelabur teruja untuk mengetahui perkembangan perkhidmatan penjagaan kesihatan kumpulan, namun mereka bimbang sekiranya sumbangan daripada segmen itu akan meruncing selepas FY21 ekoran kadar vaksinasi yang kian meningkat. 

 

Tampil menjelaskan situasi itu, pihak pengurusan MyEG percaya bahawa permintaan terhadap saringan besar-besaran, terutamanya di lokasi yang mempunyai trafik tinggi seperti lapangan terbang akan meningkat. 

 

Ini akan berlaku apabila kebanyakan negara mula melonggarkan sekatan untuk pelancongan antarabangsa secara beransur-ansur ketika kebimbangan terhadap penularan varian COVID-19 baharu masih lagi wujud, jelas Mohd Shanaz lagi. 

 

“Sebagai contoh, MyEG baru-baru ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Breathonic Pte Ltd di Singapura untuk bekerjasama mendapatkan kelulusan kawal selia untuk memperkenalkan ujian nafas pantas bagi saringan COVID-19 di Malaysia. 

 

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan akan menyumbang 25% hingga 30% dalam hasil FY21 berbanding 10% pada FY20,” tambah beliau lanjut. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham MyEG dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM2.50 sesaham. - DagangNews.com