MyGrocer tawar diskaun & baucer lebih RM1 juta | DagangNews Skip to main content

MyGrocer tawar diskaun & baucer lebih RM1 juta

MyGrocer

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Syarikat penyedia perkhidmatan beli-belah dalam talian, MyGrocer menawarkan diskaun dan baucer melebihi RM1 juta kepada pelanggannya dalam usaha menyokong Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

MyGrocer memberitahu, tawaran tersebut dibuat susulan kejayaannya menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Kerjasama itu adalah bagi meluaskan lagi jaringan e-dagang MyGrocer kepada 'Shop Malaysia Online' PENJANA dan kempen e-dagang perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) PENJANA.

"Kerjasama itu juga akan dijalankan hingga 30 September 2020," jelas MyGrocer dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, MyGrocer bakal menyediakan bantuan penyenaraian, penghantaran dan pemasaran kepada MSME Malaysia untuk menjual produk mereka secara dalam talian.

Menariknya juga, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan akan mendapat penjimatan hingga RM10,000 bagi yuran logistik, pemasaran dan pentadbiran selepas tersenarai dalam platform MyGrocer.

Diskaun hingga RM500 juga menanti pelanggan pada setiap bulan bagi pembelian barangan runcit dan keperluan harian menerusi 'Shop Malaysia Online' PENJANA.

'Shop Malaysia Online' PENJANA turut menawarkan penghantaran percuma bagi barangan runcit dan pelbagai diskaun lain mengikut terma dan syarat yang digariskan.

MyGrocer adalah platform penyedia perkhidmatan beli-belah pelbagai barangan runcit secara dalam talian.

Platform tersebut juga turut menawarkan perkhidmatan penghantaran terus pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam. - DagangNews.com