MYStartup Pre-Accelerator pelawa syarikat permulaan sertai Kohort 4 | DagangNews Skip to main content

MYStartup Pre-Accelerator pelawa syarikat permulaan sertai Kohort 4

Permohonan kini dibuka sehingga 23 Jun 2024.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 Jun  MYStartup, dengan kerjasama pemecut syarikat permulaan tempatan, Watchtower and Friends (WTF), mengumumkan edisi keempat penganjuran program MYStartup Pre-Accelerator.

 

Permohonan penyertaan kini dibuka sehingga 23 Jun ini bagi syarikat-syarikat permulaan pra benih dan peringkat awal pelbagai sektor yang bertumpukan penyelesaian yang diterajui teknologi.

 

Program pra-pemecut akan diadakan dari Jun sehingga September 2024, memperlihatkan syarikat permulaan terpilih melalui modul khusus yang bertujuan mempercepatkan perkembangan dan pertumbuhan mereka. Pengasas syarikat permulaan akan berupaya mengakses sumber pengetahuan yang meluas.

 

Ini termasuk kurikulum berasaskan hasil serta pementoran kelas dunia, sepanjang program berlangsung. Lima syarikat permulaan terbaik daripada kohort ini juga akan layak menyertai program intensif pemecut pengumpulan dana, menyediakan mereka dengan sokongan yang diperlukan untuk berjaya di luar program pra-pemecut kelak.

 

Program Kohort 4 MYStartup Pre-Accelerator direka rapi untuk menyediakan syarikat permulaan peringkat awal dengan pengalaman pembelajaran yang komprehensif selama empat bulan.

 

Dengan tiga sesi pembelajaran setiap minggu, setiap sesi selama tiga jam, topik-topik program ini merangkumi:

 

  • Minggu 1: Asas Pengasas - Menjajarkan matlamat pengasas bersama, merangka penyata misi dan visi serta memanfaatkan OKR.
     
  • Minggu 2: Kanvas Model Perniagaan - Membangunkan model-model perniagaan, pemprofilan pelanggan dan analisis pasaran.
     
  • Minggu 3: Produk Berdaya Maju Minimum (MVP) - Mereka MVP, spesifikasi sumber dan melancarkan hala tuju perniagaan.
     
  • Minggu 4: Pengesahsahihan Pasaran - Mengadakan penyelidikan pengesahsahihan, mengumpul maklum balas pengguna dan mengulangi MVP.
     
  • Minggu 5: Asas Peringkat Awal - Meneroka penilaian, pendanaan, dokumen perundangan dan teknik cadangan perniagaan.
     
  • Minggu 6: ESG untuk Syarikat Permulaan - Memahami Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), tadbir urus dan menjajarkan perniagaan permulaan dengan SDG.

 

 

Program berstruktur ini melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan alat-alat penting bagi mereka membina dan mengukuhkan perniagaan yang dimiliki.

 

Merupakan satu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dipelopori MYStartup, program pra-pemecutan ini memainkan peranan penting dalam ekonomi permulaan negara, merapatkan jurang antara idea inovatif dan perniagaan berdaya maju untuk memupuk budaya keusahawanan dan inovasi.

 

Penganjuran keempat program ini merupakan susulan kejayaan yang dilihat pada kohort syarikat permulaan terdahulu seperti Deepsight yang berjaya memperoleh geran berjumlah RM100,000 serta melancarkan produknya di Google Play dan App Store, di samping memeterai usaha sama strategik yang relevan.

 

Selain itu, syarikat permulaan seperti Rabt, PropMoth, dan PyceHub, pada masa ini berada pada peringkat perbincangan untuk memperoleh pelaburan berpotensi dengan anggaran nilai kumulatif sebanyak RM1.5 juta.

 

Permohonan kini dibuka

Syarikat permulaan yang berminat untuk menyertai Kohort 4 MYStartup Pre-Accelerator digalakkan untuk memohon sekarang. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada program yang akan memacu perniagaan anda ke aras lebih tinggi. Tarikh tutup permohonan ialah 23 Jun 2024.

 

Sila layari: https://www.watchtowerfriends.com/mystartup-c4 untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memohon. - DagangNews.com