Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Platform dagangan kenderaan terpakai di Malaysia, myTukar Sdn. Bhd. (myTukar) mengumumkan kejayaan penggunaan dua sistem pendigitalan baharu dalam industri kenderaan terpakai.
Syarikat berkenaan berjaya membawa pembaharuan digital melalui sistem Pengesanan Kecacatan Kereta dan Pengaburan Plet Kenderaan berteraskan Kecerdasan Buatan (AI) menggunakan platform Amazon Web Services (AWS).
Dikenali sebagai myTukar AI, teknologi tersebut menggunakan algoritma visual berkomputer dan pembelajaran mesin yang digerakkan oleh Amazon Rekognition dan Amazon Sagemaker.
Ketua Pengarah Eksekutif myTukar, Fong Hon Sum berkata, teknologi myTukar AI yang inovatif itu mengautomasi dan memenuhi piawaian pemeriksaan kenderaan menggunakan AI untuk mengesan kecacatan kenderaan seperti kemek, calar dan kemerosotan cat di samping mengurangkan kesilapan manusia sehingga 80%.
"myTukar AI yang inovatif ini dibangunkan hasil daripada semangat kami untuk mentransformasi industri kenderaan terpakai agar memberi manfaat kepada pelanggan kami dan untuk mendigitalkan industri ini.
"myTukar AI yang kami laksanakan pada ketika ini bukan sekadar mendigitalkan pasaran kenderaan terpakai, malahan teknologi ini adalah bayangan terhadap apa yang bakal berlaku terhadap industri automotif secara amnya di masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
myTukar AI mampu mengesan kecacatan kenderaan dalam masa tiga saat yang mampu menjimatkan masa pemeriksaan sehingga 20% sambil melindungi privasi dan keselamatan pelanggan.
Tambah beliau lagi, teknologi algoritma visual berkomputer dan pembelajaran mesin itu mampu mengesan dengan pantas pelbagai jenis isu berkaitan pemasangan & kemasan (fit & finish), penjajaran panel, kerosakan, kemek, geseran dan calar.
Laporan pemeriksaan kenderaan yang tepat boleh dikeluarkan dalam beberapa saat, seterusnya meningkatkan produktiviti keseluruhan dan kecekapan operasi 2,000 pengedar berdaftar myTukar.
"Teknologi myTukar AI disasarkan untuk diperkenalkan ke pasaran Carro Group Asia Tenggara di Singapura, Thailand dan Indonesia.
"Ini selaras dengan strategi Carro Group untuk sentiasa berkembang dan mendigitalkan dagangan kenderaan untuk rantau Asia Tenggara," tambah Fong lagi. - DagangNews.com