NADMA gubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana sebelum, semasa dan selepas bencana - PM | DagangNews Skip to main content

NADMA gubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana sebelum, semasa dan selepas bencana - PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengambil langkah proaktif dengan menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana atau Disaster Risk Reduction (DRR) sesuai dengan peranannya sebagai agensi utama yang membantu kerajaan menyusun langkah sebelum, semasa dan selepas bencana.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, DRR bukan sekadar menyediakan infrastruktur untuk berhadapan bencana tetapi meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurusan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana.

 

Beliau berkata, kajian Daftar Risiko Bencana (National Risk Register atau NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau berpotensi berlaku bagi memudahkan pihak NADMA merancang serta membuat keputusan secara bermaklumat selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals.

 

"Bagi memantapkan usaha-usaha ini, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bersama rakan strategik seperti MERCY Malaysia, UiTM (universiti Teknologi Mara), UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), JICA dan komuniti Keluarga merangkumi platform e-sumbangan yang menyelaras permintaan dan pembekalan barangan bantuan antara penderma (NGO, badan korporat dan orang perseorangan) dan penerima (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah).

 

"Daftar Risiko Bencana (NRR) mengenai maklumat-maklumat bencana yang boleh diperluaskan seiring peredaran masa, Community-Based Disaster Risk Management Pandemic (CBDRM-P) yang melibatkan peranan komuniti dan pengurusan bencana dan Kajian Kapasiti Negeri dan Kerajaan Tempatan di Malaysia terhadap Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana (Survey on Disaster Risk Reduction and Management (DRRM) Capacities of State and Local Governments in Malaysia);

 

"Apa yang penting, perancangan dan pelaksanaannya memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan sosial," kata Perdana Menteri dalam ucapan ketika merasmikan #KeluargaMalaysiaSiagaBencana, Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021, di sini hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, pada 5 Oktober lalu, pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional telah dijalankan dengan bertemakan ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’ dengan pelbagai pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti webinar, forum, program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) yang melibatkan percambahan fikiran dalam usaha mengukuhkan pengetahuan serta pemahaman pengurusan bencana di semua peringkat.

 

Beliau berkata, input yang diterima menerusi program-program ini akan diperhalusi bagi mencapai objektif utama membina komuniti berdaya tahan sekaligus berupaya mengurangkan kebergantungan kepada agensi responder dalam bencana berskala kecil dan sederhana.

 

"Program Community-Based Disaster Risk Management atau CBDRM adalah antara contoh terbaik yang boleh membantu pencapaian objektif pemerkasaan komuniti dengan mereka didedahkan cara bertindak sebagai early responder apabila berlaku bencana," katanya.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan bahawa pandemik COVID-19 dan varian-variannya masih belum lagi terhapus sepenuhnya dan ia memerlukan penyelarasan sumber serta kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi ’bencana dalam bencana’ terutamanya semasa Monsun Timur Laut yang telah bermula pada 3 November lalu. 

 

"Menyedari situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’ itu, saya ingin menekankan pentingnya untuk setiap agensi menjadi responder yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada garis panduan yang telah disediakan. 

 

"Pada masa yang sama sebagai Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang telah disusun bagi menghadapi apa jua bentuk dan intensiti bencana," katanya.-DagangNews.com