NCCIM minta Putrajaya lebih jelas, seragam dalam pelaksanaan dasar, termasuk soal gaji minimum di kala peniaga berdepan kenaikan kos operasi | DagangNews Skip to main content

NCCIM minta Putrajaya lebih jelas, seragam dalam pelaksanaan dasar, termasuk soal gaji minimum di kala peniaga berdepan kenaikan kos operasi

KUALA LUMPUR 9 Mei - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Negara (NCCIM) menggesa kerajaan supaya bersungguh-sungguh melaksanakan semua dasar dan inisiatif yang dicadangkan dengan jelas, keseragaman dan konsisten.

 

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata kerajaan juga harus bekerjasama dengan bidang kuasa lain untuk memperdalam kerjasama antarabangsa, menangani kelemahan global dan menggalakkan perdagangan pelbagai hala.

 

Beliau berkata kerajaan perlu mempunyai konsep dasar jangka panjang yang jelas, contohnya Dasar Gaji Progresif (PWP) dan Dasar Gaji Minimum.

 

 

“Selepas percubaan 1,000 syarikat untuk pelaksanaan perintis (PWP), adakah kerajaan akan menerima pakai dasar ini, dan apakah kriteria serta langkah untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS)?

 

"Apakah pendirian kerajaan terhadap gaji minimum? Dan bagaimana PKS akan bertahan apabila ringgit yang lemah semasa dan peningkatan kos operasi membebankan perniagaan mereka?," Soh bertanya pada Forum Ekonomi Negara (NEF) 2024 bertemakan "Inovasi Strategik dan Perikatan Global : Memacu Malaysia ke Pendahuluan Ekonomi Global" di sini hari ini, Bernama melaporkan.

 

 

nccim

 

 

Dalam ucapan pembukaannya, Soh berkata kepesatan gangguan teknologi, yang ditandai dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan, automasi dan pendigitalan, menawarkan kedua-dua kecekapan yang dipertingkatkan serta halangan untuk industri tradisional dan pasaran buruh.

 

Beliau berkata penyelidikan dan pembangunan, memupuk budaya keusahawanan dan menerima teknologi baru muncul boleh membantu pemilik perniagaan membuka potensi penuh mereka dan mencapai pertumbuhan inklusif yang mampan.

 

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan teknologi dan inovasi digital menyebabkan perniagaan terdedah kepada serangan siber.

 

"Kesalinghubungan pasaran global mendedahkan kita kepada kelemahan yang berpunca daripada kejutan luaran dan turun naik ekonomi.

 

"Ini menekankan keperluan untuk penyelesaian inovatif dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab," tambahnya. - DagangNews.com