KUALA LUMPUR 29 Jun - Serba Dinamik Holdings Bhd., masih muncul antara kaunter paling aktif diniagakan pagi ini setelah Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) menerima pelantikan sebagai penilai bebas.
Saham syarikat ini dibuka tinggi, naik 6.15 peratus kepada 34.5 sen dengan 28 juta saham diniagakan.
EY akan menyemak kesahihan dan ketepatan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh bekas juruaudit luar syarikat itu, KPMG PLT
Turut menyertai kaunter paling aktif ialah Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM12.2 juta pada suku kelima yang berakhir 31 Mac 2021.
Sebagai rekod, SCIB telah menukar tahun kewangan mereka dari 31 Disember kepada 30 Jun.
Harga saham SCIB menokok 4.4 peratus kepada 47.5 sen dengan 7.4 juta saham diniagakan.
Antara saham yang turut diperhatikan dalam dagangan hari ini, termasuklah Nestcon Bhd., syarikat penyedia perkhidmatan infrastruktur dan pembinaan bangunan.
Nestcon memulakan penampilan pertama di ACE Market Bursa Malaysia. Pagi ini, harga sahamnya dibuka 30 sen atau dua sen lebih tinggi daripada harga tawaran, 28 sen. Ia menyaksikan 9.14 juta saham diniagakan dalam dagangan awal.
Syarikat teknologi, MMAG Holdings Bhd. juga aktif diniagakan pagi ini dengan harga sahamnya menokok 7.41 peratus kepada 14.5 sen.
Selain itu, Pelikan International Corporation Bhd. turut berada dalam kaunter paling aktif dengan sahamnya dibuka 3.13 peratus lebih tinggi kepada 33 sen. - DagangNews.com