KUALA LUMPUR 23 Feb - MIDF Research menjangkakan Nestle (Malaysia) Berhad akan berdepan cabaran pada masa hadapan akibat peningkatan kos bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan.
Katanya, peningkatan kos komoditi makanan akan menjadi punca kepada peningkatan harga yang lebih tinggi untuk sesetengah barang.
"Walaupun berdepan cabaran besar, kami melihat musim Hari Raya Aidilfitri akan meningkatkan jualan kumpulan meskipun akan berlaku kenaikan harga yang ketara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah bagi 4QFY21 iaitu sebanyak RM112.1 juta berbanding RM132.49 juta bagi tempoh sama untuk tahun sebelumnya akibat kesan harga komoditi lebih tinggi dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 yang kekal tinggi pada suku tersebut.
Syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, keuntungan itu turut dipengaruhi oleh kos hanya sekali yang ditanggung akibat banjir termasuk bantuan kewangan kepada pekerja yang terjejas.
Ia juga meliputi kos untuk membaiki atau menghapus kira kenderaan yang rosak dan aset perdagangan serta sumbangan kepada komuniti yang terjejas di Lembah Klang.
BACA JUGA: Nestle catat keuntungan bersih 4QFY21 lebih rendah akibat harga komoditi tinggi
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan FY21 kumpulan itu meningkat sebayak 5.9% kepada RM5.7 bilion, disumbangkan oleh jualan domestik dan eksport yang meningkat masing-masing antara 6.2% dan 5%.
Katanya, perniagaan makanan dan minuman menjadi pendorong utama kepada kumpulan dengan mencatatkan pertumbuhan positif 6.3% dengan saluran Luar Rumah (OOH) menjadi penyumbang utama walaupun kawalan pergerakan sudah diangkat.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham-saham Nestle Malaysia dengan harga sasaran RM141.50 dan tiada sebarang perubahan terhadap jangkaan pendapatan mereka walaupun prestasi 4QFY21 adalah di bawah jangkaan kerana kenaikan harga komoditi.
"Kami percaya prospek masa hadapan kumpulan sangat baik tetapi mereka akan berdepan tekanan daripada kos bahan mentah namun akan dikawal dengan baik," katanya. - DagangNews.com