Netflix bukan jaminan Astro kembali 'digilai' | DagangNews Skip to main content

Netflix bukan jaminan Astro kembali 'digilai'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Penyertaan Netflix dalam Astro Malaysia Holdings Bhd. tidak semestinya menjamin pendapatan kumpulan akan kembali kukuh. 

 

Sebaliknya, menurut CGS-CIMB, strategi konvergens digital Astro hakikatnya memerlukan tempoh masa tertentu. 

 

Ini kerana, katanya, rakyat Malaysia memilih untuk melihat nilai yang boleh ditawarkan stesen berkenaan menerusi penawaran 15 perkhidmatan video on demand (SVOD) yang akan dibawakannya tidak lama lagi.

 

"Pada pandangan kami, pasaran tidak seharusnya melihat kepada Disney+ Hotstar mahupun Netflix sebagai pemangkin yang boleh memperbaiki jenama Astro kembali disegani.

 

"Sama seperti Disney+ Hotstar, ia bukan faktor utama yang akan menjana kitaran pertumbuhan baharu Astro.

 

"Tambahan pula, transformasi 'Astro baharu' masih lagi sedang berjalan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, TheEdge melaporkan perkhidmatan SVOD yang dijangka menyertai Astro ialah Neflix dan perkara itu akan diumumkan minggu ini. 

 

Beberapa minggu lalu, Astro mula menawarkan Disney+ Hotstar kepada pasaran Malaysia dan turut melancarkan perkhidmatan penstriman, sooka.

 

Secara dasarnya, menurut CGS-CIMB, potensi kerjasama antara Astro dan Netflix boleh menimbulkan kekeliruan bagi sesetengah pelabur, memandangkan ia sudah memasuki pasaran Malaysia sejak 2016.

 

"Namun, kenyataannya, Netflix masih belum mencapai skala dalam pasaran yang penuh dengan cetak rompak ini," katanya.

 

Pada 19 Mei lalu, dalam edisi Siri Persidangan Video CGS-CIMB, Pengarah Urusan Media Partners Asia, Vivek Cuoto berkata, langganan berbayar Netflix di Malaysia hanya berjumlah 600,000 pada tahun lalu, tidak sampai dua peratus daripada jumlah penduduk di negara ini. 

 

"Oleh itu, kami membuat kesimpulan, strategi Netflix sepatutnya mirip dengan Disney+ Hotstar, iaitu menggabungkan perkhidmatan SVOD dengan perkhidmatan TV berbayar Astro untuk meningkatkan jumlah pelanggan," tambahnya.

 

Firma itu berkata, meskipun The Walt Disney mungkin mengenakan caj ke atas Astro dengan kadar pukal bagi langganan Disney+ Hotstar, tetapi ia telahpun mencatat untung.

 

"Kami menjangkakan, integrasi Netflix dalam Astro sepatutnya menyerupai langkah yang diambil oleh Sky Ltd, yang mana pelanggan Netflix sedia ada boleh menyekalikan langganan mereka dengan akaun Sky TV dan pakej jalur lebar bagi memperoleh penjimatan daripada tawaran pukal yang diberikan," katanya. 

 

CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM1.51 bagi saham Astro. 

 

Untung bersih Astro Malaysia Holdings Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022 meningkat lebih 90% kepada RM141.25 juta berbanding RM73.84 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Perolehan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM1.06 bilion berbanding tempoh sama sebelumnya, RM1.05 bilion.- DagangNews.com