Nextgreen Global yakin perniagaan percetakan komersial kekal berdaya saing walaupun berdepan cabaran segmen digital | DagangNews Skip to main content

Nextgreen Global yakin perniagaan percetakan komersial kekal berdaya saing walaupun berdepan cabaran segmen digital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - Nextgreen Global Berhad berkeyakinan bahawa perniagaan percetakan komersial kekal berdaya saing walaupun berlaku peningkatan dalam segmen digital.

 

Kumpulan itu berkata, anak syarikat yang baharu diperbadankan iaitu Nextgreen Packaging (M) Sdn. Bhd. menyasarkan untuk menembusi segmen kotak dan pembungkusan dalam pasaran domestik.

 

Katanya, kilang pembuatan Pulp & Paper pertama kumpulan (Fasa 1A) yang dikendalikan oleh Nextgreen Pulp & Paper Sdn Bhd (NGPP) dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 10,000 tan metrik telah memulakan operasinya pada Jun 2022.

 

"Aktiviti pengeluaran berterusan untuk memenuhi tempahan pelanggan serta sampel produk daripada bakal pelanggan luar negara.

 

"Kumpulan yakin untuk memuktamadkan perjanjian daripada pelanggan luar negara dalam masa terdekat," katanya dalam Laporan Tahunan 2022 di Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, kilang pengeluaran kertas tisu dengan kapasiti sehingga 10,000 tan metrik setahun dijangka dibina pada awal suku tahun ketiga 2023.

 

Kumpulan itu juga telah memulakan pembinaan loji baja pertama dengan kapasiti tahunan sebanyak 30,000 tan metrik yang akan ditempatkan di GTP.

 

"Loji itu akan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Nextgreen Fertilizer Sdn Bhd (NGF) untuk menghasilkan baja organik pepejal dan cecair menggunakan bahan buangan daripada kilang Fasa 1A dan Fermented EFB.

 

Sasaran penyiapan kerja pembinaan adalah pada penghujung September 2023.

 

Segmen baja akan menjangka menyumbang aliran baharu hasil operasi kepada kumpulan bermula suku keempat 2023. - DagangNews.com