NGC Energy, JKKP anjurkan Konvensyen Pengedar LPG tingkatkan keselamatan di pusat pengedaran | DagangNews Skip to main content

NGC Energy, JKKP anjurkan Konvensyen Pengedar LPG tingkatkan keselamatan di pusat pengedaran

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Seramai 28 stokis dan MiraGas Gas Pertoleum Cecair (LPG) dari Perak, Pulau Pinang dan Kedah menyertai Konvensyen Pengedar LPG 2022 anjuran NGC Energy Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan (JKKP) di Sungai Petani, baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif NGC Energy, Julianna Kamaruddin berkata, kerjasama itu adalah untuk memastikan standard keselamatan dan kesihatan di pusat pengedaran LPG dikekalkan pada tahap tertinggi.

 

Beliau berkata, selepas mengambil kira produk yang dikendalikan, penekanan terhadap keselamatan dan kesihatan adalah paling penting dan tidak boleh sesekali dibaikan.

 

"Konvensyen itu diadakan bagi melatih selain melengkapkan pengedar gas LPG mengenai perundangan serta keperluan berkaitan penyimpanan dan berkongsi pengalaman mengenai risiko dan bahaya yang terlibat. 

 

"Kolaborasi NGC dan JKKP ini juga merupakan inisiatif ideal yang menghubungkan agensi kerajaan dan syarikat swasta dalam usaha mempromosikan kesedaran keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kovensyen itu dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP,  Ir. Mohd. Rosdee Yaacob bersama wakil JKKP dari Putrajaya dan negeri.

 

Sementara itu, Mohd. Rosdee berkata, acara itu bertepatan dengan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang disambut pada minggu kedua bulan Julai di seluruh negara setiap tahun.

 

“Konvensyen ini dianjurkan khusus untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengedar tong gas. 

 

"Kawasan penyimpanan produk ini dikategorikan sebagai Pepasangan Bahaya Besar (MHI) atau Pepasangan Bahaya Bukan Besar (NMHI) dan adalah penting bagi pemilik premis memahami sepenuhnya dan mematuhi peraturan," katanya.

 

Beliau berkata, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran sedemikian dan yang lebih penting, pematuhan kepada garis panduan dan peraturan yang berkaitan.

 

Katanya, kecederaan pekerjaan mencatatkan penurunan sebanyak 34% antara 2020 hingga 2021, dengan nisbah masing-masing menurun daripada 2.18 kepada 1.43 bagi setiap 1,000 pekerja. 

 

Melalui usaha berterusan JKKP, terdapat penurunan sebanyak 58% dalam kejadian sedemikian dari 2011 hingga 2021.

 

Di samping itu, JKKP bersama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berjaya meningkatkan kesedaran majikan, pekerja dan pengamal perubatan untuk melaporkan kes-kes penyakit dan keracunan di tempat kerja dengan peningkatan pelaporan penyakit pekerjaan daripada 1,198 kes pada 2011 kepada 9,822 pada 2021. - DagangNews.com