KUALA LUMPUR 7 Ogos - Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd telah bercadang untuk menjalankan tawaran pertukaran permulaan (IEO) untuk mengumpul dana bagi perniagaan kenderaan elektriknya (EV).
Dalam satu kenyataan media hari ini, anak syarikat Ni Hsin Group Berhad itu berkata ia telah memeterai perjanjian IEO dengan Pitch Platforms Sdn Bhd, yang akan menyediakan perkhidmatan IEO kepada Ni Hsin EV dengan objektif untuk menjadi tuan rumah pada platform IEO berlesennya, PitchIN.
Ni Hsin EV turut menandatangani perjanjian perkhidmatan dengan Masverse Sdn Bhd, yang akan menjalankan analisis mendalam dan reka bentuk tokenomik bagi token utiliti syarikat untuk IEO pitchIN.
Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech, Khoo Chee Kong berkata usaha niaga ke dalam EV dua roda telah mendapat tarikan, dan ia telah mencapai kemajuan yang baik dalam mempromosikan peralihan daripada dua roda ICE kepada dua roda EV.
"Kami telah menerima minat dan maklum balas yang sangat menggalakkan daripada perbincangan kami dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta entiti korporat mengenai penggunaan EV dua roda dalam keselamatan, pengawasan, penguatkuasaan serta fungsi operasi,” ujar beliau.
Menurut beliau, prospek pertumbuhan syarikat dijangka sihat untuk perniagaan EV dua roda, bukan sahaja dalam jualan langsung produk, tetapi juga model perniagaan sewa-untuk-dimiliki, sewa-untuk-digunakan dan perkongsian kenderaan.
"Sejajar dengan pertumbuhan yang diramalkan, kami perlu mengembangkan kapasiti pembuatan dan operasi kami.
“Bagi membiayai pengembangan berkenaan, kami bercadang untuk mengumpul dana melalui terbitan token utiliti yang akan dihoskan pada platform IEO, pitchIN, yang didaftarkan dan diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti," tambahnya.
Pada waktu penulisan, saham Ni Hsin turun 0.5 sen atau 4% kepada 12 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM68.8 juta. - DagangNews.com