Niche Capital Emas tamatkan rundingan usaha sama perlombongan nikel di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Niche Capital Emas tamatkan rundingan usaha sama perlombongan nikel di Indonesia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Feb - Niche Capital Emas Holdings Bhd telah menamatkan rundingan kerjasama dengan sebuah syarikat perlombongan nikel di Indonesia, tetapi mengekalkan kemungkinan terbuka untuk potensi perkongsian itu dikaji semula pada masa hadapan.

 

Syarikat tukang emas bersepadu itu berkata Niche Capital dan PT Advance Nickel Energy (PT ANE) menamatkan memorandum persefahaman (MOU) mereka untuk potensi kerjasama berkuat kuasa serta-merta disebabkan "keadaan pasaran semasa".

 

Bagaimanapun, syarikat itu menyatakan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk meninjau semula kerjasama itu pada masa akan datang apabila masa yang lebih sesuai.

 

"Penamatan MOU tidak mempunyai sebarang kesan kewangan yang material kepada syarikat," tambahnya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

MOU itu ditandatangani pada Julai 2023, dengan kedua-dua pihak itu memikirkan potensi kerjasama secara pemerolehan saham oleh Niche Capital Emas di dalam PT ANE, mewujudkan usaha sama atau bekerjasama untuk kerja-kerja kontraktor.

 

Kerjasama yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada pelan strategik syarikat untuk mengembangkan operasi perlombongannya di luar Malaysia dan mempelbagaikan kepada mineral lain selain emas.

 

Pada 9.15 pagi ini, saham Niche Capital menyusut setengah sen atau 3.85% lebih rendah kepada 12 sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM163.15 juta. - DagangNews.com