Bryan Loo (kanan) bersama Marcus Sua semasa mengumumkan usaha sama Tealive dengan UniPin di Kuala Lumpur, Jumaat.
KUALA LUMPUR 1 Mei — Peminat Mobile Legends: Bang Bang e-game berpeluang memenangi hadiah menarik melalui usaha sama yang dijalinkan oleh jenama teh gaya hidup, Tealive, dan UniPin selaku peneraju pembekalan kandungan digital.
Buat julung kalinya, pelanggan yang membeli minuman dari siri Tealive Bang Bang berpeluang untuk memenangi 3 poster watak eksklusif wira permainan dalam Mobile Legends: Bang Bang - dan mereka hanya perlu mengimbas kod QR yang terdapat dalam resit and mendaftar penyertaan mereka.
Pengarah Eksekutif UniPin, Marcus Sua berkata, 515 E-Party yang akan bermula pada 1 Mei hingga 15 Mei merupakan hasil kolaborasi inovatif antara dua jenama terkemuka di dalam “ruang permainan” mereka sendiri.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Tealive untuk berhubung dengan ribuan peminat Mobile Legends melalui kesemua 598 kedai mereka di seluruh Malaysia,” ulas Sua selanjutnya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, Tealive sekali lagi berjaya menampilkan tawaran hebat kepada pelanggannya, yang kebanyakannya juga merupakan gamers.
“Hadiah untuk dimenangi kali ini merupakan 3 poster watak eksklusif yang tidak dapat dibeli dengan wang,” ujar Loo.
Bagi meraikan E-Party ini, Tealive telah mencetak pembalut cawan edisi khas yang menampilkan motif Mobile Legends: Bang Bang yang akan digunakan di semua kedai minuman itu dalam Lembah Klang.
Sua turut mengumumkan promosi kedua dikenali sebagai “Spin Your Day Around” yang dijalankan sepanjang bulan Mei di mana gamers yang menambah nilai minimum RM20 di UniPin akan berpeluang untuk memenangi koleksi mata wang dalam permainan MLBB, muka depan watak wira permainan atau baucar diskaun Tealive. - DagangNews.com