Nilai jualan sektor pembuatan pada Jun melonjak kepada RM124.4 bilion | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan pada Jun melonjak kepada RM124.4 bilion

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada bulan Jun 2021 berkembang 6.5% kepada RM124.4 bilion, berbanding bulan yang sama tahun 2020. 

 

Nilai jualan ini juga meningkat 1.3% jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan nilai jualan pada bulan ini dipacu oleh subsektor Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (41.6%) terutamanya dalam industri Pembuatan Kok & Produk Petroleum Bertapis. 

 

Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor Produk Makanan, Minuman & Tembakau (9.0%) yang disokong oleh industri Pembuatan Produk Makanan. 

 

“Subsektor Produk Elektrik & Elektronik (2.2%) juga merekodkan peningkatan terutamanya dalam industri Pembuatan Kelengkapan Elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Jun 2021 adalah seramai 2,215,420 orang, meningkat 1.2% berbanding 2,188,142 orang pada Jun 2020. 

 

Peningkatan ini disumbangkan oleh pekerja dalam Produk Elektrik & Elektronik (4.4%) dan Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (3.8%).

 

Jumlah gaji dan upah yang dibayar juga meningkat 3.5% atau RM247.2 juta pada Jun 2021 kepada RM7,360.3 juta berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 5.2% kepada RM56,135 berbanding bulan Jun 2020 sebanyak RM53,374.

 

Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,322 pada bulan Jun 2021.

 

Bagi suku tahun kedua 2021(2Q21) pula, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 33.9% kepada RM377.7 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya. 

 

Peningkatan ini didorong oleh kenaikan dalam Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (47.3%), Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (46.3%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (30.0%).

 

Bilangan pekerja serta gaji dan upah masing-masing meningkat 1.2% dan 6.0% pada suku tahun kedua 2021.

 

Prestasi nilai jualan pada separuh tahun pertama 2021 juga merekodkan peningkatan 20.1% kepada RM740.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020. - DagangNews.com