Nilai kredit eBelia naik kepada RM300 | DagangNews Skip to main content

Nilai kredit eBelia naik kepada RM300

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Nilai kredit dalam program eBelia yang bertujuan untuk menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai kepada golongan belia ditingkatkan daripada RM100 kepada RM300.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah berkenaan akan memanfaatkan dua juta belia dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300 juta.

 

"Program ini akan dilaksanakan mulai bulan Jun 2021.


    
"Bagi menggalakkan penyertaan anak muda bandar terlibat dalam projek-projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar atau PEKB akan diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak RM21 juta.

 

"Oleh itu, seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai," katanya ketika membentangkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah peruntukan bagi melahirkan seramai 250 usahawan belia Bumiputera baharu.

 

Program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp juga akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

 

"BSN juga menawarkan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA dengan kadar serendah 3% untuk membolehkan anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan sehingga RM50,000," ujar beliau. - DagangNews.com