KUALA LUMPUR 2 Nov - Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, penyusutan nilai ringgit yang dialami dalam tempoh terdekat ini, tidak harus dijadikan pengukur kepada kedudukan ekonomi negara.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, berkata ia juga tidak menggambarkan bahawa asas ekonomi negara sudah terjejas.
Katanya, kejatuhan kadar pertukaran ringgit yang dialami pada ketika ini sebahagian besarnya didorong perkembangan global yang secara khususnya dipengaruhi pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China.
"Keadaan yang sama turut dialami oleh mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China, dan peso Filipina yang turut menyusut berbanding dengan dolar AS pada tahun ini.
"Walaupun nilai mata wang ringgit menurun berbanding dolar AS, namun ekonomi Malaysia masih kekal berdaya tahan disokong permintaan domestik yang mampan.
"Pertumbuhan terus diterajui perbelanjaan sektor swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh, pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak," katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Parlimen pada Rabu.
Sebagai sebuah negara perdagangan dan ekonomi yang terbuka, Perdana Menteri berkata permintaan terhadap ringgit akan dipengaruhi oleh faktor global.
Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, jelasnya kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting mengurangkan impak kejutan luaran terhadap aktiviti ekonomi domestik.
"Pemulihan kestabilan pasaran dunia, penambahbaikan sentimen pelabur dan lebihan penerimaan pertukaran wang asing yang dipengaruhi oleh kegiatan teras ekonomi negara dijangka akan dapat memperkukuhkan nilai ringgit.
"Langkah jangka masa pendek yang diambil oleh Bank Negara (BNM) akan tertumpu kepada usaha memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.
"Untuk menangani kemeruapan pasaran pertukaran asing, BNM akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur," katanya.
Dalam jangka masa panjang, Perdana Menteri berkata, nilai ringgit boleh diperkukuh melalui pelaksanaan polisi struktur yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang berkualiti.
Tambahnya, langkah ini termasuk usaha bagi mentransformasi ekonomi negara yang dipandu oleh Kerangka Ekonomi MADANI menerusi dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
"Selain itu, pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti negara serta komitmen kerajaan terhadap pengukuhan kemampanan fiskal menerusi pembentangan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dijangka akan membantu mengukuhkan nilai ringgit," katanya. - DagangNews.com