Nilai saham MGB dianggap amat rendah, RHB Investment kekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran RM1.13 | DagangNews Skip to main content

Nilai saham MGB dianggap amat rendah, RHB Investment kekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran RM1.13

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - RHB Investment berpendapat bahawa saham MGB Bhd dinilai amat rendah daripada sewajarnya meskipun prospek pertumbuhannya menyerlah.

 

Menurut firma itu, penilaian pasaran MGB, yang menyaksikan ramalan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 6.3 kali ganda untuk tahun kewangan 2024 (FY24) dilihat murah sedangkan ia mempunyai beberapa pemangkin termasuk perniagaan pratuang di Arab Saudi, potensi lebih banyak projek rumah mampu milik di Selangor dan projek hartanah baharu di Johor.

 

“Kami menjangkakan pendapatan teras syarikat berkembang tahun ke tahun antara RM10 juta hingga RM12 juta untuk 4QFY23 (4QFY22: RM3.8 juta), disokong pengebilan kemajuan yang lebih tinggi daripada projek yang sedang dijalankan, ditambah dengan keadaan buruh yang menggalakkan dan harga bahan mentah terurus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh itu, RHB Investment mengunjurkan pendapatan FY23 kumpulan itu melonjak tiga kali ganda kepada RM47 juta daripada RM15 juta pada FY22.

 

Sementara itu, pendapatan untuk FY24 juga dijangka disokong oleh kemajuan dalam projek sedia ada, iaitu projek KITA@Cybersouth dan Idaman.

 

Mengulas berkenaan tempahan pembelian produk pratuang pertamanya di luar negara dari Arab Saudi bernilai RM119.5 juta, firma penyelidikan itu berkata MGB bersedia untuk membekal dan memasang produk konkrit pratuang untuk 400 unit vila untuk projek pembangunan Roshn Alarous di utara Jeddah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MGB terima dua tempahan produk pratuang bernilai RM120 juta daripada Sany Alameriah Industrial di Jeddah

 

Tahun lepas, MGB memeterai perjanjian usaha sama dengan Sany Alameriah Industrials (SA) melalui anak syarikatnya MGB International for Industry, di mana syarikat itu akan mengendalik kilang konkrit pratuang SA.

 

Di bawah terma perjanjian berkenaan, SA akan mendapatkan kontrak untuk sejumlah 270,000 meter padu produk konkrit pratuang dalam tempoh tiga tahun mulai Januari 2024.

 

“Kami percaya bahawa jumlah volum produk konkrit pratuang yang dibekalkan boleh mencecah 300,000 meter padu dalam tempoh tiga tahun, disokong permintaan perumahan yang kukuh di Arab Saudi.

“Ini menyumbang kepada pertambahan pendapatan sebanyak RM23.6 juta dengan andaian 7% margin keuntungan selepas cukai,” tambahnya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan dan  saranan ‘beli’ terhadap syarikat pembinaan dan kejuruteraan itu dengan harga sasaran (TP) RM1.13 sesaham.

 

Pada pukul 2:44 petang ini, saham MGB telah menokok 4.5 sen atau 6.9% kepada 69.5 sen, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM411.2 juta.  - DagangNews.com