NIMP 2030 bakal pacu pelaburan tempatan, asing dalam industri farmaseutikal Malaysia | DagangNews Skip to main content

NIMP 2030 bakal pacu pelaburan tempatan, asing dalam industri farmaseutikal Malaysia

BMI percaya Malaysia boleh menarik lebih banyak pelaburan dan meletakkan dirinya sebagai peneraju serantau dalam industri farmaseutikal. - Gambar Stephen Foster

KUALA LUMPUR 29 Sept - BMI, sebuah syarikat kumpulan Fitch Solutions, berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 akan menggalakkan penyepaduan rantaian nilai untuk pengeluaran bahan farmaseutikal aktif, vaksin dan ubat-ubatan tempatan yang lebih baik.

 

Dalam nota pada Khamis, firma itu berkata insentif kerajaan akan terus memacu pelaburan tempatan dalam pasaran farmaseutikal Malaysia dalam tempoh terdekat.

 

BMI berkata ia percaya Malaysia boleh menarik lebih banyak pelaburan dan meletakkan dirinya sebagai peneraju serantau dalam industri farmaseutikal.

 

Firma itu berkata jualan farmaseutikal ialah RM11.2 bilion pada 2022 dan ia meramalkan jualan ubat meningkat kepada RM15.5 bilion pada 2027, menyamai kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 6.7% dalam terma mata wang tempatan.

 

BMI berkata Rancangan Malaysia Ke-12 menekankan sektor farmaseutikal dan peranti perubatan sebagai industri utama yang akan memacu pertumbuhan ekonomi dalam tempoh ini.

 

Ia berkata kerajaan Malaysia menyatakan ia akan menjalankan usaha untuk meningkatkan pelaburan domestik dalam industri farmaseutikal, sambil memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab bioperubatan serantau.

 

“Kami perhatikan bahawa Malaysia telah pun melakukan usaha bersepadu dalam hal ini.

 

“Sebagai contoh, bajet 2022 negara telah melanjutkan insentif kadar cukai keutamaan, yang menyediakan pelabur dengan kadar cukai antara sifar hingga 10% untuk tempoh 10+10 tahun jika mereka mengeluarkan produk farmaseutikal tempatan, termasuk vaksin,” katanya. 

 

BMI berkata kawalan harga ubat akan terus mempengaruhi keuntungan pembuat ubat multinasional dan tidak menggalakkan perusahaan asing.

 

Ia berkata pada Mei 2019, Kabinet Malaysia mengumumkan langkah kawalan harga bagi ubat-ubatan di negara ini.

 

Kawalan harga adalah berdasarkan harga rujukan luaran, yang melibatkan penanda aras harga tempatan terhadap harga ubat yang lebih rendah di pasaran lain.

 

Harga siling kemudiannya ditetapkan dan membentuk purata tiga harga terendah yang dikenal pasti.

 

"Adalah pandangan kami bahawa kawalan harga akan memberi impak besar ke atas margin keuntungan pembuat ubat yang inovatif di negara ini dan ini berpotensi mengehadkan pelaburan multinasional," katanya. - DagangNews.com