Nippon Koei kini pemegang saham strategik ASAP Mobility | DagangNews Skip to main content

Nippon Koei kini pemegang saham strategik ASAP Mobility

Hiroaki Shinya
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - ASAP Mobility Sdn. Bhd. (ASAP Mobility), sebuah syarikat kejuruteraan sistem dan perundingan terkemuka di Malaysia, berjaya menarik syarikat rakan dari Jepun iaitu Nippon Koei Co. Ltd. (Nippon Koei) untuk menjadi pemegang saham strategiknya.

 

Berkaitan dengan perkara tersebut, Nippon Koei telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh pegangan majoriti dalam ASAP Mobility, sebagai sebahagian daripada langkah pengembangannya ke Malaysia dan pasaran serantau. Dengan itu, ASAP Mobility telah menjadi anak syarikat Nippon Koei.

 

Tumpuan ASAP Mobility, yang berpejabat di Shah Alam, adalah dalam sistem pengangkutan awam. 

 

Ia telah secara aktif memberikan perkhidmatan kejuruteraan sistem dan perundingan kepada pelanggan dalam beberapa projek pengangkutan awam utama di Malaysia seperti Sistem Transit Aliran Ringan Shah Alam (dari Bandar Utama ke Johan Setia, “LRT 3”), Sistem Transit Bandar Kuching (“KUTS”) dan Johor Bahru – Singapore Rapid Transit System (RTS Link). 

 

Di samping itu, ASAP Mobility juga telah melaksanakan tugasan perundingan projek-projek di luar negara, yang mana antaranya adalah LRT Laluan Jakarta Kelapa Gading ke Velodrome, LRT Palembang, Sambungan Rel Komuter Utara-Selatan Manila (NSCR-Ex), Kereta Bawah Tanah Metro Manila, Metro Chennai, Bengaluru Metro, dan beberapa projek aliran utama Sistem Kawalan Kereta Api Eropah Tahap 2 (ETCS L2) di Hungary, serta beberapa kerja perundingan di Thailand, Mesir, Switzerland dan Botswana.

 

Nippon Koei pula adalah syarikat gergasi Jepun yang menyediakan perkhidmatan perundingan, di antaranya, dalam sektor pengangkutan, tenaga dan alam sekitar kepada pelanggan di seluruh dunia. Syarikat tersebut disenaraikan di Bursa Saham Tokyo, permodalan pasarannya adalah JPY52.18 bilion (kira-kira RM1.74 bilion) pada akhir Julai 2022.

 

Baru-baru ini, Nippon Koei sangat aktif dalam meneroka peluang di ASEAN dan rantau lain, termasuk projek kereta api utama seperti Ho Chi Minh City MRT Line1 di Vietnam, Dhaka MRT Line1, Line 5N, Line 6 di Bangladesh dan Dedicated Freight Corridor di India dan sebagainya.

 

 

mobility
Aniket Mukhopadhyay

 

 

Dalam perkembangan baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASAP Mobility, Aniket Mukhopadhyay akan terus menerajui syarikat sebagai ketua pegawai eksekutif selepas perjanjian urus niaga dengan Nippon Koei dilaksanakan. 

 

“Kami mengalu-alukan kemasukan Nippon Koei sebagai pemegang saham strategik kami. Urusniaga ini bukan sahaja akan memanfaatkan ASAP Mobility dari segi membantu memantapkan lagi kapasiti kami dan meningkatkan rantaian nilai, tetapi juga membawa nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan kami. 

 

"Kami juga amat percaya ia akan memberi manfaat kepada Malaysia secara amnya, kerana ia akan membolehkan kami mengembangkan eksport perkhidmatan kami, dan dengan itu, bakat dan kepakaran tempatan kami akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mengendalikan projek antarabangsa dan memperoleh pengalaman berharga,” kata Aniket.

 

Wakil Pengarah dan Presiden Nippon Koei, Hiroaki Shinya juga menyatakan rasa teruja dan bersemangat dengan transaksi ini. 

 

“Kami berbesar hati mendapat peluang melabur dalam ASAP Mobility. Dengan kedudukan utama ASAP Mobility di Malaysia dan pengalaman luas dalam projek antarabangsa, kami percaya ia sesuai untuk Nippon Koei sebagai rakan kongsi yang baik dan firma sasaran pelaburan untuk mempercepatkan pengembangan perniagaan kami di Malaysia dan rantau ini secara keseluruhannya," katanya. - DagangNews.com