Nizra Industries dapat kontrak bekalkan e-bike Sting R MX4 kepada Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

Nizra Industries dapat kontrak bekalkan e-bike Sting R MX4 kepada Tentera Darat

Seorang anggota tentera mencuba e-bike MX4 yang dibekalkan Nizra Industries.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tentera Darat (TD) buat pertama kali bakal menggunakan motosikal elektrik (e-bike) bagi rondaan dan operasi apabila menerima aset itu tidak lama lagi.

 

Syarikat tempatan, Nizra Industries telah memenangi tender bagi perolehanan tersebut sepertimana dimaklumkan dalam laman media sosialnya

 

Nizra Industries dipilih untuk membekalkan e-bike jenis Talaria Sting R MX4, bagaimana pun jumlah sebenar perolehan tidak dinyatakan.

 

 

e-bike MX4 menggunakan kerangka jenis logam ringan, tahan lasak dengan dipacu bateri jenis 60V/45Ah sehingga pada kelajuan 90 kilometer (km) sejam serta boleh ditunggang sejauh 120km.

 

Kapal
Ciri-ciri pada e-bike menjadikan ia sangat sesuai digunakan semasa operasi selain tahan lasak.

 

Ini merupakan satu evolusi baharu dalam TD apabila memilih penggunaan e-bike dalam tugas ketenteraan di sempadan khususnya.

 

Ketika ini TD menggunakan motosikal scrambler sebagai jentera untuk pelbagai peranan seperti rondaan, perhubungan dan membawa anggota bersama senjata termasuk pelancar roket.

 

Ciri-ciri pada e-bike yang lebih senyap memberi kelebihan sekiranya digunakan semasa operasi rondaan dan penyusupan.

 

Banyak tentera negara-negara Eropah mula menggunakan e-bike termasuklah dalam konflik di Ukraine.

 

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan ada mengeluarkan tender membekalkan e-bike kepada syarikat berkelayakan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 45 buah.

 

Kapal

 

Kapal
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nizra Industries, Nik Iruwan Nik Izani (tiga dari kiri) bersama pegawai dan anggota tentera semasa melihat e-bike MX4.

 

Tiga tawaran tender berasingan dibuka iaitu masing-masing 15 buah e-bike setiap kontrak.

 

Jumlah tersebut termasuklah untuk dibekalkan kepada pasukan tentera di Sabah dan Sarawak.

 

Walaupun tidak menyatakan nilai tender secara spesifik tetapi ia dianggarkan kira-kira RM1 juta berdasarkan harga pasaran sebuah e-bike antara RM22,000 hingga RM26,000.

 

Pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 (DSA) lalu, Nizra Industries menjalin kerjasama strategik dengan Superlux Auto Sdn. Bhd. bagi membangunkan e-bike kegunaan tentera.

 

Melalui kerjasama itu, Nizra bertindak sebagai penyedia teknologi dan pemasaran manakala Superlux menyediakan e-bike yang mengikut spesifikasi ketenteraan.

 

Kapal
Banyak tentera negara-negara Eropah menggunakan e-bike semasa operasi termasuk tentera Britain.

 

e-bike itu dibangunkan di Malaysia dengan kerjasama beberapa vendor dari China dan dijangka akan digunakan oleh pasukan keselamatan.

 

Ia direka khas bersesuaian dengan keadaan muka bumi negara ini.

 

Tahun lalu, Nizra Industries berjaya membekalkan sebanyak 85 buah trak Iveco Daily 4x4 sebagai kenderaan penarik meriam untuk kegunaan TD dengan nilai kontrak berjumlah RM15 juta. - DagangNews.com