NMIM SIRIM akan latih 106 pegawai penentusahan timbangan DE Metrology | DagangNews Skip to main content

NMIM SIRIM akan latih 106 pegawai penentusahan timbangan DE Metrology

KUALA LUMPUR 19 Jan - Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia, SIRIM (NMIM) akan melatih seramai 106 orang pegawai penentusahan timbangan syarikat DE Metrology Sdn. Bhd. (DMSB) yang akan menjalankan kerja-kerja pengesahan timbang, sukat dan alat timbang dan sukat bagi kegunaan perdagangan bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

Perjanjian Perkhidmatan itu akan membolehkan NMIM melaksanakan Kursus Kompetensi dan Konsultansi untuk pegawai DMSB bagi memenuhi syarat lantikan syarikat itu sebagai syarikat dilesenkan oleh KPDNHEP.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad, berkata, menerusi perjanjian itu, pihaknya akan memantapkan pengetahuan dan pembangunan kompetensi pegawai penentusahan, kerana ia penting bagi kegunaan perdagangan akan memberi manfaat kepada semua pihak.

 

“Memorandum Perjanjian ini akan menandakan permulaan kerjasama yang kukuh antara NMIM dan DE Metrology Sdn. Bhd. 

 

"Saya yakin bahawa kedua-dua organisasi akan meraih manfaat maksimum dalam rangka persahabatan melalui perkongsian menang-menang ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada majlis pertukaran Memorandum Perjanjian itu, NMIM, SIRIM diwakili oleh Pengarah Kanannya, Dr. Osman Zakaria dan DMSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zuwairi Japri Al-Manjie. 

 

sirim

 

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad. 

 

Skop kursus kompetensi dan konsultansi merangkumi bendalir, masa, sukat linar dan jisim (timbang) akan dijalankan dalam masa dua tahun dan merangkumi kursus dan penilaian teori secara dalam talian, kursus praktikal secara video pra-rakaman dan penilaian secara fizikal di cawangan DMSB mengikut wilayah atau di kemudahan pihak ketiga serta konsultansi dan audit.

 

Sementara itu, Pengerusi DE Metrology Sdn. Bhd., Datuk Seri Jamil Salleh berkata, perjanjian itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia dilihat dapat membantu meningkatkan kemahiran sedia ada bagi menyediakan perkhidmatan pengesahan alat timbang dan sukat yang tepat.

 

"Saya yakin dengan penglibatan dan komitmen yang diberikan oleh DMSB dapat meningkatkan lagi kemahiran dan memantapkan perkhidmatan yang diberikan. 

 

"NMIM, unit strategik SIRIM yang menjalankan fungsi-fungsi statutori bagi pihak Kerajaan adalah Makmal Standard Pengukuran yang antara mandatnya adalah untuk merealisasi dan menyenggara Standard Pengukuran Kebangsaan dan Bahan Rujukan Diperakui, di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007," katanya.

 

sirim

 

NMIM juga adalah Penyimpan Timbang dan Sukat yang berperanan menasihati menteri mengenai perkara yang berkaitan dengan pengukuran mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. 

 

Selain berperanan menyebar dan menggalakkan unit-unit pengukuran dan teknologi pengukuran yang selaras dengan Standard Pengukuran Kebangsaan, mereka juga memberi latihan, khidmat nasihat dan perundingan mengenai pengukuran, teknologi pengukuran serta perkara-perkara yang berkaitan. - DagangNews.com