Noor Arfa sasar jualan RM24 juta untuk tahun 2024, turut fokus jualan dalam talian [EKSKLUSIF] | DagangNews Skip to main content

Noor Arfa sasar jualan RM24 juta untuk tahun 2024, turut fokus jualan dalam talian [EKSKLUSIF]

Wan Mohd Hafiz menunjukkan koleksi baharu yang dikeluarkan untuk peminat batik sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang. - Gambar DagangNews2024
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 29 Januari - Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar batik sutera milik bumiputera terkemuka di Malaysia menyasarkan jualan bernilai RM24 juta pada tahun 2024.

 

Pengarah Urusannya, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata, ia adalah peningkatan lebih 100% berbanding RM10 juta yang dicatat pada tahun 2023.

 

Pada tahun ini, syarikat menyasarkan jualan sama banyak untuk kedua-dua segmen jualan secara dalam talian (RM12 juta) dan pembelian secara fizikal (RM12 juta) di empat premis perniagaannya ketika ini.


 

nurarfa
Kompleks Kraf Noor Arfa di Chendering, Kuala Terengganu

 


Beliau berkata, Noor Arfa telah menyediakan lebih banyak koleksi rekaan baharu bagi peminat batik sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

 

"Setiap minggu, Noor Arfa akan mengeluarkan koleksi baharu bagi mengejar perubahan fesyen yang sangat pantas pada zaman sekarang. Pelanggan juga sentiasa menantikan koleksi-koleksi baharu  daripada Noor Arfa. 

 

"Antara pembaharuan yang Noor Arfa lakukan untuk meningkatkan jualan ialah dengan mengeluarkan produk Ready To Wear kerana permintaan untuk baju berasaskan batik adalah sangat tinggi," katanya ketika ditemui DagangNews.com di sini.


 

iktisad

 


Noor Arfa, yang mula beroperasi pada 1980 kini mempunyai pusat jualan utama di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) di Chendering serta dua cawangan lain iaitu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dan Busana MARA di Kuala Lumpur.

 

Ditanya keistimewaan koleksi baharu yang diperkenalkan itu, beliau berkata, ia bukan sahaja sesuai digayakan pada musim perayaan, malah boleh dijadikan baju harian kerja dan acara kasual.

 

Katanya, Noor Arfa juga mengikut trend semasa dengan mengeluarkan lebih banyak koleksi dengan warna-warna trending iaitu Brick Oren, warna-warna gelap dan warna pastel.

 

"Kami yakin jualan pada Aidilfitri mampu mencapai RM1 juta kerana peminat batik tidak lokek berbelanja untuk mendapatkan busana idaman mereka.

 

"Ini turut dibantu oleh sistem pemasaran melalui 2,183 ejen yang dilantik di seluruh negara dan beberapa strategi termasuk mengiklankan produk Noor Arfa di lima papan iklan sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) tidak lama lagi," katanya.


 

nurarfa

 

nurarfa

 


Tambahnya, Noor Arfa juga memfokuskan strategi kempen seragam batik untuk penjawat awam memandangkan golongan itu perlu memakai batik seperti yang ditetapkan kerajaan.

 

"Segmen Batik Premium Seragam dan kolaborasi dengan artis serta pempengaruh juga berjaya mengukuhkan jenama Noor Arfa sebagai pengeluar batik terunggul di Malaysia," katanya.- DagangNews.com