Norges Bank bukan lagi pemegang saham utama Cahya Mata Sarawak | DagangNews Skip to main content

Norges Bank bukan lagi pemegang saham utama Cahya Mata Sarawak

KUALA LUMPUR 12 Jan - Norges Bank, bank pusat dan pengurus dana kekayaan negara Norway, tidak lagi menjadi pemegang saham utama Cahya Mata Sarawak Berhad, menyebabkan harga saham syarikat itu turun kepada paras RM1.08 sesaham.

 

Harga saham Cahya Mata Sarawak ketika ini merosot 3.6% kepada RM1.08, dengan permodalan pasaran RM1.16 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pemberitahuan pemberhentian itu diterima melalui e-mel.

 

Sehingga 6 Disember 2023, Norges Bank memegang 4.989% kepentingan dalam Cahya Mata Sarawak.

 

Pada 14 September 2023, Norges Bank, memperoleh 54.05 juta saham atau 5.03% kepentingan dalam kumpulan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SESCO kemuka saman balas ke atas Cahya Mata Sarawak sebanyak RM342 juta

 

Norge Bank mempunyai kira-kira AS$12.08 trilion dalam pelaburan ke atas 70 negara dan 9,228 syarikat setakat 12 Januari 2024.

 

Menerusi laman web, bank itu berkata, mereka telah melabur dalam 157 syarikat senaraian awam di Malaysia dengan lebih AS$2.34 bilion setakat 31 Disember 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Tradeview, Ng Zhu Hann berkata, dalam kes Cahya Mata, syarikat itu mempunyai banyak aset berharga dan syarikat konsesi, isu tadbir urus terus membelenggunya dengan perebutan pemegang saham yang menjejaskan pemegang saham utamanya.

 

"Keadaan itu mungkin menjejaskan keyakinan pelabur atau terkeluar daripada keadaan pelaburan yang dibenarkan oleh jawatankuasa pelaburan syarikat dana itu.

 

"Terutama pada zaman ini di mana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah sangat penting, keadaan semasa Cahya mungkin menjadi punca kebimbangan mereka.

 

"Tambahan pula, pendapatan kumpulan telah merosot sejak beberapa tahun lalu. Saya percaya bahawa sekiranya isu-isu yang dinyatakan tidak diselesaikan, kumpulan itu mungkin menghadapi tugas sukar untuk kembali ke zaman kegemilangannya," katanya.

 

Keuntungan bersih Cahya Mata menjunam 93.5% kepada RM9.9 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 berbanding RM154.4 juta bagi tempoh sama setahun lalu. - DagangNews.com